MPS digesa hentikan kerja naik taraf jalan jejas padang BRP

Penduduk BRP membantah kerja-kerja menaik taraf jalan yang menjejaskan padang di taman perumahan berkenaan.
Penduduk BRP membantah kerja-kerja menaik taraf jalan yang menjejaskan padang di taman perumahan berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penduduk Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh menggesa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menghentikan kerja-kerja menaik taraf jalan di taman berkenaan yang menjejaskan padang di situ.

Wakil penduduk, Profesor Rokiah Alavi berkata, mereka menentang keras projek itu dan menuntut MPS membuat perancangan jangka panjang bagi menyelesaikan isu lalu lintas di Padang BRP yang terletak di Jalan BRP 7 memandangkan projek perumahan besar-besaran telah dimulakan di kawasan itu.

Rokiah menjelaskan bahawa Padang BRP adalah penting bagi penduduk Bukit Rahman Putra dan popular dalam kalangan orang Sungai Buloh untuk kegunaan rekreasi.

“Taman ini mempunyai laluan joging, peralatan senaman untuk individu semua peringkat umur termasuk kanak-kanak dan warga emas, taman permainan, gelanggang bola keranjang berbumbung, gelanggang badminton, gelanggang sepak takraw dan kawasan lapang,” katanya kepada Sinar Daily pada Khamis.

Kira-kira dua minggu lalu, pengguna padang BRP menyatakan bahawa pokok-pokok di situ telah dicat dengan warna merah dan terdapat tanda-tanda pembangunan akan bermula.

Penduduk di Jalan BRP 7 dan kejiranan lain dengan pantas membentuk Kumpulan Selamatkan Padang selepas menyedari kemungkinan kesan besar projek Fasa 2 itu ke atas padang BRP.

Kumpulan itu telah menghantar surat bantahan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, ahli Parlimen dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Projek menaik taraf di Padang Bukit Rahman Putra membabitkan dua fasa - Gambar fail.
Projek menaik taraf di Padang Bukit Rahman Putra membabitkan dua fasa - Gambar fail.

Tambah Rokiah, kelulusan yang diberikan kepada pemaju untuk memulakan projek Fasa 2 telah mengecewakan penduduk.

Jelasnya, padang BRP telah diiktiraf oleh MPS untuk digunakan untuk tujuan rekreasi.

“Justeru, sebarang bentuk pembangunan tidak boleh dibenarkan di atas tanah ini kecuali kerja-kerja menaik taraf untuk tujuan rekreasi,” katanya.

Tambah Rokiah lagi, jalan alternatif tidak akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di Jalan BRP 7.

Jelasnya, jalan tersebut hanya akan menyebabkan lebih banyak kesesakan dan kekacauan bukan sahaja di Jalan BRP 7/1 tetapi juga di Jalan BRP 7, 7/2, dan 7/3, kerana tiada perancangan yang rapi bagi memastikan aliran trafik lancar.

“Terdapat sedikit kesesakan dalam pelan yang dicadangkan kerana jalan penghubung sempit, jalan susur di Jalan BRP 7 terlalu hampir dengan lampu isyarat dan pintu masuk laluan masuk jalan alternatif dari Jalan 7/1.

“Tidak lupa, ruang pendek untuk pusingan U dan pusingan selepas memasuki Jalan BRP 7 dan pintu keluar adalah di kawasan yang sama untuk masuk ke Taman BRP 7/3 dan lot kedai di Jalan BRP 7/2,” jelasnya.

Rokiah menambah, jalan masuk baharu diperlukan untuk menampung pembinaan 6,000 rumah baharu dan tambahan 24,000 penduduk.

“Cadangan pemaju untuk menggunakan Jalan BRP 7/1 sekarang sebagai jalan masuk sudah pasti satu cara untuk mereka menjimatkan wang,” katanya.

Tambah beliau, membina jambatan di atas landasan kereta api bagi menghubungkan jalan masuk baharu ke Matang Pagar merupakan aliran lalu lintas pilihan yang lebih baik untuk menyambung ke jalan persekutuan dan lebuh raya.

“Projek ini akan menyebabkan kenderaan terlalu hampir dengan padang BRP. Asap yang dikeluarkan kenderaan tidak sihat untuk penggunanya.

“Padang BRP mempunyai pokok cantik dan rendang yang ditanam sejak 26 tahun lalu. Jalan alternatif itu memerlukan sekurang-kurangnya 80 pokok besar dan rendang untuk ditebang.

“Ini tidak mesra alam dan akan memberi kesan serius terhadap kualiti udara, kesihatan dan kesejahteraan, terutamanya bagi pengguna padang, dan penduduk di kawasan ini secara amnya,” tegasnya.