Terbuka Indonesia: Aaron-Wooi Yik mara ke final

Aaron-Wooi Yik akan menentang Satwiksairaj-Chirag dalam perlawanan akhir Terbuka Indonesia pada Ahad. - Foto Badminton Photo
Aaron-Wooi Yik akan menentang Satwiksairaj-Chirag dalam perlawanan akhir Terbuka Indonesia pada Ahad. - Foto Badminton Photo
A
A
A

[DIKEMAS KINI] JUARA dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan persembahan luar biasa dalam Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia apabila mengesahkan slot perlawanan akhir pada Sabtu.

Dalam perlawanan separuh akhir di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta itu, Aaron-Wooi Yik menewaskan beregu dari Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan.

Bagaimanapun set pertama beregu utama negara yang berstatus nombor tiga dunia dikejutkan persembahan bertenaga gandingan ranking ke-25 tersebut dengan kekalahan 12-21.

Set kedua, Aaron-Wooi Yik yang memiliki rekod dua kemenangan dalam tiga pertemuan menentang lawan mereka bangkit melakar kemenangan dalam aksi sengit yang akhirnya memihak kepada gandingan negara, 23-21.

Kemenangan itu menyuntik motivasi dalam set penentuan apabila tenang meninggalkan lawan mereka untuk kemenangan 21-13 dalam tempoh 57 minit.

Kejayaan mara ke perlawanan akhir itu memperbaiki pencapaian edisi sebelum ini yang menyaksikan cabaran Aaron-Wooi Yik tersekat pada separuh akhir kepada

gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Aaron-Wooi Yik akan menentang gandingan luar jangka dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam perlawanan akhir pada Ahad dengan lapan rekod pertemuan memihak kepada gandingan negara.

Satwiksairaj-Chirag pemenang gangsa Kejuaraan Dunia 2022 mencipta sensasi menjadi pasangan India pertama mara ke final kejohanan Super 1000 selepas bangkit mengejutkan gabungan pilihan dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk- Seo Seung Jae 17-21, 21-19, 21-18.