BMTKM: Kerenah pusat, negeri akan diatasi

Mustapa
Mustapa
A
A
A

KOTA BHARU - Beberapa isu dan cabaran perlu ditangani Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memastikan kelancaran Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara cabaran dihadapi adalah kerenah kerajaan pusat dan negeri yang menetapkan peraturan serta syarat tertentu.

Bagaimanapun katanya, selepas perbincangan bersama, segala masalah yang timbul akan diselesaikan secara baik dalam masa terdekat bagi memastikan program yang dipantau oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) itu berjalan lancar untuk fasa seterusnya.

"Alhamdulillah, semua kerenah itu dijangka dapat diselesaikan dalam sehari dua lagi," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata, antara perkara penting yang perlu difikirkan untuk BMTKM ialah mengenal pasti program sesuai bagi meningkatkan pendapatan keluarga miskin tegar dan kaedah terbaik mempermudahkan program.

Tambah Mustapa, ECERDC akan memantau pendapatan sama ada meningkat atau sebaliknya membabitkan penduduk negeri di pantai timur dan sebahagian di Johor.

"Selain itu, mereka dibantu pegawai daerah selain Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk membangunkan sistem maklumat," katanya.

BMTKM bertujuan menghapuskan miskin tegar dalam tempoh tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

Gerak kerja BMTKM fasa dua dijangka bermula pada pertengahan September 2022 di 100 lokaliti melibatkan 5,000 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh negara manakala fasa tiga pada Disember.

Pelaksanaan bagi fasa pertama pula melibatkan 80 lokaliti rintis dan kira-kira 2,500 ketua isi rumah bermula Jun 2022.

Sehingga kini, EPU dan ICU di bawah JPM yang bertanggungjawab menyelaras dan memudah cara pelaksanaan BMTKM telah memperakukan permohonan program bagi 64 lokaliti melibatkan 1,300 isi rumah dengan kos kira-kira RM14.9 juta.