Tun M nafi pengaruh hakim jatuhkan hukuman kepada Najib

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan bahawa beliau mempunyai sebarang pengaruh terhadap keputusan kes mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia selepas ada pihak mendakwa terdapat kemungkinan wujudnya pengaruh beliau dalam penghakiman memandangkan antara hakim yang terlibat keputusan dalam kes tersebut iaitu Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilantik semasa beliau menjadi Perdana Menteri di bawah Pakatan Harapan.

“Ya saya lantik (Tengku Maimun) kerana saya perdana menteri, saya tiada pilihan," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Himpunan Nasional 2022 Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Malaysia di sini pada Sabtu.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, beliau tidak mempunyai pengaruh terhadap pemilihan itu dan hanya meluluskannya termasuk dalam keputusan dikeluarkan mahkamah.

"Terdapat tiga mahkamah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Terdapat sembilan hakim semuanya mempunyai pendapat yang sama," katanya.

Tambah beliau, kes Najib juga dilihat berlarutan agak lama iaitu selama empat tahun berbanding kes perbicaraan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya mengambil masa sembilan bulan di mahkamah.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan: