Pahang rekod 6,914 kes cerai sejak 2020 hingga Jun 2022

Syed Ibrahim (kiri) menerima contoh kad perakuan nikah bersekuriti tinggi disampaikan Dr Zulkifle pada Majlis Perasmian Kursus Pra Perkahwinan Islam Perdana dan Pelancaran Dokumen Rasmi Nikah, Cerai dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Negeri Pahang di Dewan Kompleks MBK pada Sabtu.
Syed Ibrahim (kiri) menerima contoh kad perakuan nikah bersekuriti tinggi disampaikan Dr Zulkifle pada Majlis Perasmian Kursus Pra Perkahwinan Islam Perdana dan Pelancaran Dokumen Rasmi Nikah, Cerai dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Negeri Pahang di Dewan Kompleks MBK pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Pahang merekodkan 6,914 kes penceraian yang didaftarkan di 14 Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dalam tempoh 2020 hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, 2,948 kes didaftarkan pada 2020 manakala 2,189 kes (2021) dan 1,777 kes (Januari -Jun 2022).

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, daripada kes penceraian yang didaftarkan itu, 919 pasangan telah memohon untuk rujuk kembali sepanjang tempoh itu.

Menurutnya, dalam tempoh sama, sebanyak 55,667 kebenaran perkahwinan telah dikeluarkan di negeri ini dengan 30,882 pasangan telah mendaftarkan perkahwinan mereka.

"Sebanyak 11,588 perkahwinan didaftarkan pada tahun 2020 manakala 12,162 perkahwinan (2021) dan 7,072 lagi didaftarkan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Pra Perkahwinan Islam Perdana dan Pelancaran Dokumen Rasmi Nikah, Cerai dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Negeri Pahang di Dewan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada Sabtu.

Syed Ibrahim (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Kursus Pra Perkahwinan Islam Perdana dan Pelancaran Dokumen Rasmi Nikah, Cerai dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Negeri Pahang pada Sabtu.
Syed Ibrahim (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Kursus Pra Perkahwinan Islam Perdana dan Pelancaran Dokumen Rasmi Nikah, Cerai dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Negeri Pahang pada Sabtu.

Turut hadir, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Dr Zulkifle Ali dan Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Md Yunos.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, bagi membantu pasangan pengantin di negeri ini, kerajaan negeri memperkenalkan Inisiatif Khas Pasangan Pengantin (IKPP) melalui sumbangan tunai RM200 bagi setiap pasangan.

Menurutnya, dalam tempoh 2020 hingga Jun tahun ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih RM500,000 bagi tujuan itu membabitkan peruntukan RM427,000 pada 2020, RM270,800 (2021) dan RM85,750 (2022).

"Kerajaan negeri akan mempertimbangkan tambahan kadar bantuan ini pada masa akan datang bergantung kepada kemampuan kewangan.

"Inisiatif ini merupakan salah satu usaha menggalakkan perkahwinan bagi meningkatkan kadar kelahiran dan penambahan bilangan penduduk di negeri ini," jelasnya.

Tambah beliau, Jaip melalui Paid juga sentiasa mengadakan kursus pra perkahwinan kepada bakal pengantin dan lebih 28,000 peserta telah menerima manfaat kursus itu sejak 2019.

Sementara itu, beliau berkata, Jaip telah memperkenalkan Dokumen Rasmi Nikah, Cerai dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Negeri Pahang.

"Ia melibatkan sijil nikah, cerai dan rujuk serta kad perakuan nikah yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan lebih baik bagi mengelak pemalsuan," ujar Syed Ibrahim.