Maritim tahan bot nelayan langgar syarat sah lesen

Seorang tekong dan empat kru bot tempatan kelas C disyaki melanggar syarat sah lesen ditahan di kedudukan 0.25 batu nautika timur Pulau Jong pada Jumaat. - Foto Maritim Kedah/Perlis
Seorang tekong dan empat kru bot tempatan kelas C disyaki melanggar syarat sah lesen ditahan di kedudukan 0.25 batu nautika timur Pulau Jong pada Jumaat. - Foto Maritim Kedah/Perlis
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah/ Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C disyaki melanggar syarat sah lesen dengan membawa 10 pemancing di kedudukan 0.25 batu nautika timur Pulau Jong di sini pada Jumaat.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Kapal Maritim (KM) Tenggol yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman kira-kira jam 12 tengah hari di sekitar perairan Langkawi melakukan pemeriksaan ke atas bot yang mencurigakan berikutan muatan didapati melebihi kapasiti.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tersebut membawa sembilan pemancing warga tempatan dan pemancing warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 25 hingga 50 tahun.

"Selain itu, kita mendapati bot nelayan tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat kru warga tempatan.

"Kesemua individu dan bot nelayan telah ditahan dan dibawa masuk ke jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Romli berkata, kes akan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana surat kebenaran membawa penumpang telah tamat tempoh dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan membawa penumpang menggunakan bot nelayan.

Dalam perkembangan sama, Romli menegaskan Maritim Malaysia tidak menyekat mana-mana aktiviti yang membabitkan perikanan atau sukan memancing.

"Bagaimanapun, kami ingin menegaskan agar individu terlibat perlu patuh pada peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, banyak kes kecelakaan di laut berlaku di seluruh negara kebelakangan ini membabitkan kumpulan pemancing, yang mana rata-rata kes yang berlaku berpunca daripada sikap tidak peka dan cuai ketika berada di laut.

"Justeru, pemancing dinasihatkan agar tidak menggunakan perkhidmatan bot penumpang yang tidak sah kerana setiap pengangkutan di air mempunyai syarat yang berbeza," katanya.

Tambah Romli, pemilik bot nelayan juga perlu memantau aktiviti bot mereka yang dikendalikan tekong kerana ada antara tekong yang digaji menggunakan bot nelayan dengan tujuan menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berharap komuniti maritim setempat dapat bekerjasama memantau perkara ini dan melaporkan kepada Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999.

"Kerjasama antara Maritim Malaysia dan komuniti perlu dieratkan demi memastikan perairan Negeri Kedah dan Perlis sentiasa aman dan selamat," katanya.