Malaysia sokong masyarakat Rohingya pulang ke Myanmar

Saifuddin (depan, empat dari kiri) dan isteri Datin Seri Norlin Shamsul Bahri (depan, lima dari kiri) bergambar bersama duta asing pelbagai negara pada Majlis Malam Gemilang Pahlawan Bangsa Harimau sempena Program Familiarisation Visit for Diplomatic Corps di Kuantan pada Jumaat.
--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Saifuddin (depan, empat dari kiri) dan isteri Datin Seri Norlin Shamsul Bahri (depan, lima dari kiri) bergambar bersama duta asing pelbagai negara pada Majlis Malam Gemilang Pahlawan Bangsa Harimau sempena Program Familiarisation Visit for Diplomatic Corps di Kuantan pada Jumaat. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUANTAN - Malaysia menyokong perjuangan masyarakat Rohingya untuk kembali ke Myanmar sebagai warganegara negaranya, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa juga tidak boleh melupakan nasib masyarakat Rohingya, yang kini lebih sejuta daripada mereka menjadi pelarian di Bangladesh, manakala 150,000 di Malaysia dan sebahagian lagi di beberapa lagi negara.

"Mereka dinafikan kewarganegaraan dan kita mendokong usaha dan perjuangan mereka untuk menjadi rakyat seperti orang lain di Myanmar, selain turut memberi sokongan kepada beberapa ikhtiar membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

"Usaha-usaha ini harus didokong bersama oleh masyarakat antarabangsa terutamanya ASEAN kerana ini isu yang besar dalam konflik Myanmar," katanya pada sidang media sempena Program Familiarisation Visit for Diplomatic Corps di sini, pada Jumaat.

Malaysia, kata Saifuddin, juga menyokong usaha masyarakat Rohingya yang ingin bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) Myanmar bagi mengembalikan 'kehidupan biasa' dan menegakkan demokrasi di negara itu.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota turut memaklumkan, beliau turut menyertai beberapa acara anjuran masyarakat Rohingya secara persidangan video pada Khamis, yang merupakan ulang tahun kelima kejadian pembunuhan 'genocide' terhadap komuniti Rohingya di Rakhine yang berlaku pada tahun 2017.

Selain inisiatif Gambia membawa isu kekejaman terhadap masyarakat Rohingya ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Saifuddin berkata proses undang-undang juga sedang bermula di Argentina oleh aktivis-aktivis Rohingya.

Komuniti Rohingya keluar beramai-ramai bermula pada 25 Ogos 2017 selepas tentera Myanmar melancarkan operasi terhadap minoriti Islam itu, antara lain melibatkan membunuh, merogol dan menyeksa lelaki, wanita serta kanak-kanak masyarakat itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: