Pembentangan Bajet Perak tidak diawalkan

Saarani menanam pokok penaga lilin sempena Program Penghijauan Malaysia di MRSM Sultan Azlan Shah pada Jumaat.
Saarani menanam pokok penaga lilin sempena Program Penghijauan Malaysia di MRSM Sultan Azlan Shah pada Jumaat.
A
A
A

PADANG RENGAS - Pembentangan Bajet Negeri Perak 2023 tidak akan diawalkan sebaliknya dibuat mengikut jadual iaitu pada bulan November depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini kerajaan negeri sedang dalam peringkat mengadakan sesi libat urus membabitkan Pegawai Kewangan Negeri bersama-sama exco-exco kerajaan negeri.

Menurutnya, menjadi amalan kerajaan-kerajaan negeri untuk membentangkan bajet masing-masing selepas pembentangan di peringkat persekutuan.

"Semua negeri akan membentang bajet selepas bajet persekutuan sebab kita nak tengok ada tak bajet persekutuan yang memasukkan perkara-perkara yang negeri mahukan. Jadi mana-mana yang tercicir daripada persekutuan kita kena tampung dengan bajet negeri.

"Biasanya selepas bajet persekutuan, kita ada lagi sesi akhir untuk membuat sesi libat urus. Selepas sahaja bajet persekutuan, kita buat kajian sekali lagi untuk nak kemas kini mana perlu ditambah atau dikurangkan, barulah kita akan bawa ke dalam Dewan Undangan Negeri. Ikut jadual (pembentangan bajet negeri) biasa pada bulan November," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penghijauan Malaysia: YAB Menteri Besar Bersama Pelajar Negeri Perak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, di sini pada Jumaat.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenakan kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara, untuk meminda tarikh daripada 26 kepada 3 Oktober.

Artikel Berkaitan: