Himpunan Madani Kedah 2023 tidak guna wang kerajaan

Asmirul Anuar (gambar kecil) menafikan Himpunan Madani Kedah 2023 anjuran Sekretariat Pakatan Harapan Nasional dan Pakatan Harapan Negeri Kedah menggunakan wang kerajaan.
Asmirul Anuar (gambar kecil) menafikan Himpunan Madani Kedah 2023 anjuran Sekretariat Pakatan Harapan Nasional dan Pakatan Harapan Negeri Kedah menggunakan wang kerajaan.
A
A
A

ALOR SETAR - Penganjuran Himpunan Madani Kedah 2023 anjuran Sekretariat Pakatan Harapan Nasional dan Pakatan Harapan Negeri Kedah sama sekali tidak menggunakan wang kerajaan.

Pengarah Pelaksana Himpunan Madani Kedah 2023, Asmirul Anuar Aris berkata, Himpunan Madani Kedah 2023 yang diadakan di Dataran Stargate pada Jumaat depan menggunakan peruntukan sendiri.

Beliau menegaskan, himpunan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti itu diadakan menggunakan dana parti masing-masing.

"Memang kita mengadakan beberapa aktiviti termasuklah cabutan bertuah dan persembahan artis, namun ia tidak seharusnya dipertikaikan. Kami tidak guna duit kerajaan sebaliknya dana politik sendiri.

"Malah, seperti mana mereka (pembangkang) mendapatkan tajaan untuk aktiviti di mereka. Saya juga mencari tajaan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Asmirul Anuar memaklumkan, program berkenaan bukanlah program kerajaan, sebaliknya Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani diadakan di sebuah hotel di Alor Setar yang merupakan program kerajaan.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa poster tular mengenai program itu bukanlah poster rasmi himpunan tersebut.

Asmirul Anuar turut berkongsikan beberapa atur cara program seperti persembahan khas Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Amy Search serta pelancaran bas dan trak Perpaduan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara aktiviti lain termasuklah cabutan bertuah, pendaftaran, penyerahan hadiah 10,000 T-shirt Malaysia Madani dan kupon cabutan bertuah, santai motosikal, santai wanita, busker, edaran sajian, solat dan munajat serta doa selamat.

Himpunan turut dimeriahkan dengan acara pidato dari beberapa pimpinan termasuklah Perdana Menteri, pimpinan nasional serta pimpinan Kedah.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid membuat ciapan berhubung himpunan tersebut.