Naik taraf perparitan mampu atasi masalah banjir

Salim (kiri) meninjau kerja-kerja pembinaan parit konkrit di kawasan Machang Kudung.
Salim (kiri) meninjau kerja-kerja pembinaan parit konkrit di kawasan Machang Kudung.
A
A
A

POKOK SENA - Projek menaik taraf sistem perparitan di kawasan Machang Kudung dan sekitarnya diyakini dapat menyelesaikan 90 peratus masalah banjir yang sering melanda kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Salim Mahmood berkata, penduduk terlibat saban tahun dibelenggu masalah banjir setiap kali berlaku hujan lebat di kawasan tersebut.

Menurutnya, apabila siap sepenuhnya pembinaan parit konkrit tersebut, penduduk dapat menarik nafas lega kerana ia dapat menampung kapasiti air yang sebelum ini melimpah sehingga ke jalan raya.

“Sekiranya hujan berpanjangan selama tiga jam, beberapa kawasan akan mengalami banjir dan menyebabkan jalan raya ditenggelami air, ini menyukarkan pergerakan keluar masuk penduduk.

“Setelah semakan dibuat, longkang di kawasan tersebut agak kecil yang menyebabkan ia tidak dapat menampung kapasiti air apabila hujan lebat seterusnya mengakibatkan banjir,” katanya ketika meninjau kerja-kerja pembinaan parit konkrit tersebut baru-baru ini.

Salim memaklumkan, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi pemasangan parit ‘u drain’ sepanjang 700 meter.

"Kerajaan juga salurkan peruntukan sebanyak RM350,000 bagi meninggikan semula jalan sedia ada sepanjang 750 meter di kawasan tersebut.

"Kita harapkan usaha ini antara penyelesaian untuk atasi masalah banjir di kampung tersebut dan memberikan keselesaan kepada penduduk setempat,” jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kemudahan itu dapat memanfaatkan ramai penduduk sekitar termasuk kawasan Nawa Budi, Menerong, Tualang dan kampung berdekatan untuk ke pekan Pokok Sena.

“Bagi melancarkan aliran air, kerja-kerja pembersihan sistem perparitan sedia ada sepanjang 800 meter turut dilakukan. Kerja naik taraf tersebut bermula 24 April dan siap pada bulan ini,” ujarnya lagi.