Wanita maut dipercayai dibunuh teman lelaki

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KLANG - Pertelingkahan sepasang kekasih berakhir dengan tragedi apabila seorang wanita maut dipercayai ditekup dengan menggunakan bantal oleh teman lelakinya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pandan di sini pada Rabu.

Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 19 tahun itu dipercayai bertindak demikian kerana mangsa ingin memutuskan hubungan dengannya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek bagaimanapun berjaya diberkas berhampiran lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan kejadian tersebut.

"Wanita berkenaan mendakwa menerima panggilan video daripada suspek yang merupakan kenalannya pada jam 7.18 malam meminta untuk mengambilnya di kawasan Kampung Pandan, Klang.

"Menerusi panggilan video itu, suspek turut mengaku kepada rakannya telah bertindak menekup muka kekasihnya yang berumur lingkungan 24 tahun sehingga tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, rentetan laporan yang dibuat wanita berkenaan, sepasukan anggota polis kemudian ke lokasi kejadian.

"Mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik rumah tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat," katanya.

Ujar beliau, siasatan di lokasi kejadian telah menemui beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

"Suspek kemudiannya berjaya diberkas pada hari sama kira-kira jam 9.20 malam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

"Suspek dipercayai cuba melarikan diri ketika tangkapan dijalankan," katanya.

Jelas Hoong Fong, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.