Wanita maut motosikal bertembung MPV

Anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa manakala penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Ihsan Bomba Perak
Anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa manakala penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Ihsan Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Seorang wanita maut setelah motosikal yang ditunggang bersama rakannya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran Kampung Pos Raya di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Alia Supar, 25, manakala pembonceng berusia 24 tahun mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.25 petang.

Menurut beliau, kemalangan itu membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan MPV jenis Perodua Alza yang dinaiki empat sekeluarga.

"Pemeriksaan mendapati tiada mangsa yang tersepit. Seorang penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

"Anggota turut memberi rawatan awal kepada pembonceng yang cedera sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 7.18 petang.