Peraduan Snap, Shoot & Win tawar hadiah menarik

Gambar poster Peraduan Snap, Shoot & Win
Gambar poster Peraduan Snap, Shoot & Win
A
A
A

SHAH ALAM - Peraduan 'Snap, Shoot & Win' yang akan bermula esok hingga 4 September ini akan menawarkan pelbagai hadiah menarik sempena Jualan Gudang Karangkraf 2022 di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, peraduan tersebut adalah pertama kali diadakan untuk memberi peluang kepada orang ramai mempamerkan bakat dan menyerlahkan kreativiti masing-masing.

"Penganjuran kali ini akan menampilkan banyak kelainan. Disebabkan bangunan Karangkraf sudah berwajah baharu, justeru kita minta orang ramai untuk 'pose' gambar atau OOTD (outfit of the day) di bangunan kami.

"Mereka perlu mengambil gambar atau merakam video berdurasi maksimum 15 saat secara kreatif di bangunan Karangkraf dan kemudian memuat naik ke media sosial selain pastikan akaun media sosial berada dalam keadaan umum (public).

"Penyertaan ini dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan diharapkan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk sertai peraduan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Poster Jualan Gudang Karangkraf 2022
Poster Jualan Gudang Karangkraf 2022

Firdaus menambah, pelbagai hadiah menarik ditawarkan antaranya pemenang tempat pertama akan memenangi Perpustakaan Buku Karangkraf bernilai RM1,000 dan sebuah rak buku beserta bekalan pelitup muka dan T-shirt Sinar Harian.

"Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan memenangi hamper buku Karangkraf bernilai RM500 dan RM300 berserta pelitup muka Karangkraf dan T-shirt Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

"Pemenang sagu hati pula turut memenangi buku bernilai RM30 berserta pelitup muka Karangkraf," jelasnya.

Dalam pada itu, Firdaus memaklumkan Jualan Gudang Karangkraf 2022 selama 10 hari yang akan berlangsung setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 7 malam itu akan menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan dengan harga bermula serendah RM1 selain menawarkan diskaun sehingga 80 peratus.

"Kita akan bawa penulis hebat, ustaz selebriti dan personaliti televisyen untuk bersama-sama memeriahkan program ini dan sudah pasti pengunjung berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan mereka.

"Selain orang ramai juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa barangan IKEA bernilai sehingga RM500 dengan minimum pembelian RM100 dalam satu resit," katanya.

Penolong Pengurus Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Anis Syamila Abdul Halim
Penolong Pengurus Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Anis Syamila Abdul Halim

Sementara itu, Penolong Pengurus Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Anis Syamila Abdul Halim berkata, orang ramai yang berkunjung ke jualan gudang dijemput menyertai aktiviti 'Book Hunt: Rahsia Bilik Gelap' di lobi Kompleks Kumpulan Media Karangkraf bermula esok sehingga 4 September depan.

"Penyertaan adalah percuma. Kali ini kita mahu ketengahkan konsep baharu dan berbeza dengan mengadakan aktiviti pencarian buku (book hunt) di dalam bilik gelap.

"Peserta yang dibekalkan dengan sebuah lampu suluh perlu mencari buku yang ditetapkan dan mereka yang berjaya menjumpainya akan diberikan hadiah misteri," katanya sambil menambah pencarian buku tersebut mengambil masa tiga hingga lima minit.

Jualan gudang yang akan berlangsung pada 26 Ogos hingga 4 September ini di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam merupakan kali kedua dianjurkan pada tahun ini.

Gambar poster Book Hunt: Rahsia Bilik Gelap
Gambar poster Book Hunt: Rahsia Bilik Gelap