[VIDEO] Kerajaan bayar RM42.5 bilion hutang, komitmen 1MDB - Amir Hamzah

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah membayar sebanyak RM42.5 bilion bagi memenuhi hutang dan komitmen syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), setakat 31 Ogos lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, baki komitmen Sukuk Islam dan Nota Jangka Sederhana (MTN) yang dijamin kerajaan pula berjumlah RM8.9 bilion, merangkumi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga matang pada 2039.

Amir Hamzah ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Rabu
Amir Hamzah ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Rabu

"Ini menjadikan keseluruhan tanggungan yang telah dibayar dan masih perlu dibayar sebanyak RM51.4 bilion.

"Setelah mengambil kira pemulihan dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion, beban bersih kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion sekiranya tiada pemulihan tambahan," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang meminta untuk menyatakan sasaran akhir bagi menyelesaikan baki liabiliti bersih 1MDB yang kini dianggarkan RM20.1 bilion, termasuk jumlah aset dan tuntutan yang masih dalam proses pemulihan.

Dalam pada itu Amir Hamzah menjelaskan, kerajaan melalui 1MDB terus mempergiat usaha merundingkan pampasan serta mendapatkan semula aset dan dana berkaitan melalui tindakan undang-undang dan mekanisme pemulihan aset di dalam dan luar negara.

Menurutnya, jumlah tersebut masih bergantung kepada keputusan mahkamah, proses rayuan, aset yang dapat dikesan dan keupayaan untuk menguatkuasakan perintah, khususnya di luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, nilai yang dituntut atau diperintahkan oleh mahkamah belum boleh dianggap sebagai jumlah yang pasti akan diterima.

"Walaupun terdapat potensi baik mendapat pemulihan tambahan berdasarkan kekuatan kes kerajaan untuk menuntut pampasan daripada pihak yang bertanggungjawab, namun pemulihan tambahan tidak akan menokhtahkan kerugian daripada 1MDB ataupun yang ditanggung negara," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!