56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023

Nie Ching
Nie Ching
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 56,304 kandungan memudaratkan berunsur palsu dalam talian diturunkan oleh penyedia perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 15 Oktober tahun ini, bersamaan 86 peratus daripada 65,680 permohonan yang dikemukakan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sebanyak 546 kes berkaitan kandungan palsu disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam tempoh sama.

Menurutnya, tindakan kawal selia dan penguatkuasaan itu dilaksanakan selaras dengan peruntukan Akta 588 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

"Sebanyak 19 kes telah didakwa di mahkamah dan daripada jumlah itu, 12 kes mendapat keputusan dengan jumlah denda keseluruhan RM75,500.

"34 kes dikenakan kompaun berjumlah RM1.72 juta, 74 kes dikeluarkan surat amaran dan 29 kes masih dalam siasatan, manakala 390 kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Dalam pada itu Nie Ching memaklumkan, MCMC terlebih dahulu menilai aduan yang diterima daripada agensi kerajaan, penguat kuasa atau orang awam sebelum mengemukakan permohonan kepada penyedia platform sekiranya kandungan disyaki melanggar undang-undang.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, penyedia platform turut menjalankan penilaian sendiri berdasarkan undang-undang dan garis panduan komuniti masing-masing.

"Namun pihak penyedia platform juga akan membuat penilaian mereka sendiri sama ada kandungan berkenaan melanggar undang-undang atau garis panduan komuniti mereka.

"Disebabkan itu, bukan semua permohonan daripada MCMC akan diturunkan,," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) mengenai langkah memperketat hukuman susulan penularan berita palsu, Nie Ching berkata, kerajaan memerlukan sokongan semua Ahli Parlimen bagi membolehkan tindakan undang-undang lebih tegas diambil.

Memberi contoh kes melibatkan penyuntingan gambar Buletin TV3 yang memaparkan maklumat palsu mengenai harga petrol RON95 dan diesel, beliau berkata, pesalah telah dikenakan kepada hukuman denda oleh mahkamah

"Saya percaya bagi memastikan rakyat tidak terperdaya dengan berita palsu, kita semua perlu menyokong kerajaan dan Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan undang-undang lebih tegas," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!