Penjimatan subsidi bahan api tahun ini dimuktamadkan hujung tahun - Amir Hamzah

Amir Hamzah ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
Amir Hamzah ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah penjimatan subsidi bahan api bagi tahun ini akan dimuktamadkan pada hujung tahun selepas mengambil kira pelarasan berdasarkan transaksi sebenar, harga pasaran mingguan, kadar pertukaran mata wang dan jumlah penggunaan yang disahkan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan BUDI95 secara keseluruhan dijangka menjana penjimatan fiskal antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.

"Penjimatan itu merupakan hasil pelaksanaan penyasaran subsidi secara menyeluruh, termasuk mengurangkan ketirisan subsidi kepada bukan warganegara dan kategori pengguna yang tidak layak, serta pembelian yang tidak selaras dengan objektif perlindungan sosial kerajaan.

"Kerajaan akan terus memastikan penjimatan berkenaan dimanfaatkan semula bagi memperkukuh bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, serta inisiatif lain yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah sebenar penjimatan subsidi bahan api sepanjang tahun ini di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan responsif berasaskan data, termasuk melalui pemantauan berterusan terhadap perkembangan bekalan dan harga pasaran tenaga global, kedudukan fiskal negara serta maklum balas rakyat.

"Susulan keadaan bekalan bahan api yang lebih stabil dan perbelanjaan subsidi semasa sekitar RM4 bilion sebulan, kerajaan menaikkan semula had kelayakan BUDI95 kepada 300 liter sebulan mulai 1 September 2026.

"Pelarasan had kelayakan terdahulu daripada 300 liter kepada 200 liter merupakan langkah awal yang bersasar bagi memastikan bekalan bahan api negara terus terjamin ketika berlaku ketidaktentuan bekalan global susulan konflik di Asia Barat,” katanya. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!