Lebih 100,000 hak milik tanah diluluskan kepada rakyat Kelantan

Ahmad (tengah) menyampaikan geran tanah kepada Nik Rahim (kiri) pada Program Jjupo Mata Menteri Besar dan pemimpin bersama rakyat di Dataran Bandar Baru Pasir Mas pada Khamis.
Ahmad (tengah) menyampaikan geran tanah kepada Nik Rahim (kiri) pada Program Jjupo Mata Menteri Besar dan pemimpin bersama rakyat di Dataran Bandar Baru Pasir Mas pada Khamis.
A
A
A

PASIR MAS - Kerajaan Kelantan meluluskan 105,050 hak milik tanah dengan keluasan 188,730.4 hektar kepada rakyat di negeri ini sejak tahun 1990 sehingga kini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kelulusan pemberian geran tanah melibatkan pemilik-pemilik antaranya di Gua Musang Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Katanya, kerajaan itu sentiasa peka terhadap masalah pemilikan tanah oleh rakyat di negeri ini dan sentiasa memberikan kelulusan hak milik tanah kepada pemohon-pemohon pada setiap tahun.

“Perkara ini sentiasa dibincangkan dalam setiap kali Mesyuarat Exco dan diputuskan untuk memberikan hak milik tanah kepada rakyat misalnya di daerah Pasir Mas membabitkan 6,120 hak milik yang diluluskan dengan 10,117.93 hektar.

“Secara keseluruhannya pula sehingga kini, kerajaan negeri meluluskan sebanyak 105,050 hak milik tanah yang melibatkan keluasan 188,730.4 hektar di negeri Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jjupo Mata Menteri Besar dan pemimpin bersama rakyat di Dataran Bandar Baru Pasir Mas, di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang dan Ketua Jajahan Pasir Mas, Hazmi Abdul Hamid.

Menurut Ahmad, pemberian hak pemilikan tanah itu selain bertujuan tempat tinggal, turut disarankan untuk perusahaan tanah pertanian seperti tanaman getah dan kelapa sawit yang sekali gus dapat meningkatkan sumber makanan serta ekonomi penduduk setempat.

“Pemilik tanah antaranya mereka yang sudah ada tanaman dan boleh mengeluarkan hasil pertanian serta sumber makanan seperti padi untuk masyarakat mahu pun sara diri.

Artikel Berkaitan:

“Mengikut perjanjian dalam tempoh masa 10 tahun tanah ini tidak boleh dipindah milik. Oleh sebab itu, kita galakkan pemilik untuk usahakan tanah dengan pertanian,” katanya.

Sementara itu, penerima geran tanah, Nik Rahim Nik Mod, 65, berkata, penantian sejak tahun 2015 melalui permohonan yang dibuat terhadap tanah getah seluas dua hektar di Kampung Gelam, di sini, kini berbaloi.

“Arwah ibu bapa saya terlebih dahulu mengusahakan tanaman getah di tanah tersebut bermula pada tahun 1979 dan terhenti apabila tidak mempunyai hak milik.

“Sekarang, saya pula bercadang untuk menyambung usaha menanam pokok getah di tanah tersebut selepas mendapat geran tanah ini,” katanya.