Polis jangan seleweng, salah guna kuasa: Ketua Polis Perak

Mohd Yusri menyantuni barisan Ketua Polis Daerah yang hadir sempena Perhimpunan Khas Ketua Polis Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.
Mohd Yusri menyantuni barisan Ketua Polis Daerah yang hadir sempena Perhimpunan Khas Ketua Polis Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Ketua Polis Perak baharu, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri mengingatkan pegawai dan anggotanya supaya tidak menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa ketika menjalankan tugas.

Beliau berkata, sebagai pasukan penguat kuasa paling utama dalam negara dan negeri, polis sepatutnya memberikan perkhidmatan yang boleh menambah keyakinan rakyat terutama berkaitan keselamatan.

"Anggota perlu faham tugas mereka, faham apa yang dilakukan dan faham apa yang patut diberikan kepada masyarakat.

"Kerana itu saya nasihatkan kepada semua pegawai dan anggota agar mempertingkatkan integriti, jaga kewibawaan dan janganlah salah guna kuasa, penyelewengan dan sebagainya.

"Perkara ini akan mencalarkan dan menjejaskan imej polis," katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Khas Ketua Polis Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Mohd Yusri, 52, dilantik sebagai Ketua Polis Perak baharu bagi menggantikan Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang bersara wajib, 4 Ogos lepas.

Majlis serah terima tugas berlangsung di IPK Perak pada Rabu antara beliau bersama Timbalan Ketua Polis Perak yang memangku jawatan, Datuk Azizi Mat Aris disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Anak kelahiran Langkap, Teluk Intan itu telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 1991 dan pernah memegang beberapa jawatan antaranya pegawai penyiasat, pegawai pengiring kepada perdana menteri, Sultan Pahang dan Yang di-Pertuan Agong, Ketua Polis Daerah Bentong dan terakhir sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang sebelum ke jawatan baharu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusri berkata, ketelusan menjadi keutamaannya dalam melaksanakan tugas dan perkhidmatan.

"Saya jenis yang transparency, yes is yes, no is no, black is black, white is white.

"Jadi saya harap kerjasama semua terutama timbalan (ketua polis), ketua jabatan dan ketua polis daerah untuk bantu saya dalam menjalankan tugas," katanya.