Tiga cedera termasuk budak tiga tahun lori terbabas

SITIAWAN – Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera selepas sebuah lori terbabas ke bahu jalan di Kilometer 224.8 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah utara pada Khamis.WCE
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, mangsa terdiri daripada lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 25 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah malam.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar bergegas ke lokasi sebelum tiba pada jam 1.04 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Nissan yang terbabas ke bahu jalan.
“Dua mangsa dewasa, masing-masing lelaki dan wanita, tersepit di dalam lori manakala seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, operasi menyelamat dijalankan dengan menggunakan peralatan khas Hydraulic Rescue Tools bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Katanya, semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, operasi terkawal pada jam 1.20 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.27 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

