Perhilitan teliti pindah gajah ganggu kebun di Perlop 1

Wan Shaharuddin (duduk, dua dari kanan) dan Mohd Zolkafly (duduk, dua dari kiri) ketika sidang media di Dewan Orang Ramai Kampung Perlop 1 pada Rabu.
Wan Shaharuddin (duduk, dua dari kanan) dan Mohd Zolkafly (duduk, dua dari kiri) ketika sidang media di Dewan Orang Ramai Kampung Perlop 1 pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sedang meneliti keperluan memindahkan gajah liar yang mengganggu tanaman penduduk di Kampung Perlop 1, di sini, susulan kes kemusnahan kebun kelapa sawit dan dusun di kawasan berkenaan.

Timbalan Pengarah Perhilitan Perak, Wan Shaharuddin Wan Noordin berkata, bagaimanapun, proses pemindahan gajah atau translokasi bergantung kepada kesesuaian kawasan serta keadaan muka bumi bagi membolehkan operasi penangkapan dilaksanakan.

Menurutnya, Perhilitan berdepan kekangan untuk mencari lokasi pelepasan gajah yang sesuai di Perak kerana haiwan itu memerlukan kawasan habitat yang luas.

“Buat masa sekarang kawasan translokasi gajah di negeri Perak ini tiada tempat yang sesuai untuk kita lepaskan.

“Gajah memerlukan kawasan yang besar dengan lingkungan keliaran kira-kira 100 kilometer persegi. Jadi, gajah yang ditangkap di Sungai Siput atau Hulu Perak perlu dihantar ke luar negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun di Dewan Orang Ramai Kampung Perlop 1 pada Rabu.

Wan Shaharuddin berkata, kaedah menghalau gajah menggunakan senjata khas atau tembak halau masih menjadi pendekatan utama sebelum tindakan penangkapan dipertimbangkan.

Katanya, operasi penangkapan bergantung kepada keadaan muka bumi dan kebolehcapaian lokasi bagi membolehkan kenderaan serta peralatan digunakan.

“Kalau kawasan itu terlalu berbukit dan lori sukar masuk, kita akan gunakan kaedah tembak halau atau dron untuk menghalau gajah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kalau keadaan mengizinkan dan kita boleh menangkap gajah itu, kita akan laksanakan penangkapan,” katanya.

Beliau berkata, Perhilitan turut menggunakan dron bagi memantau pergerakan gajah, termasuk pada waktu malam, untuk mengenal pasti kedudukan haiwan itu selepas operasi menghalau dilakukan.

Menurutnya, kumpulan gajah yang dikenali sebagai kumpulan Gajah Piah dari kawasan Simpang Piah dikenal pasti bergerak merentasi kawasan luas, termasuk Bukit Bangkong dan Kampung Perlop 1.

Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata, sebanyak 25 pemilik tanah di Rancangan Tanah Belia Khas Perlop 1 terjejas akibat serangan gajah pada 10 dan 16 Oktober lalu, dengan kemusnahan dianggarkan melibatkan kira-kira 80 hingga 100 hektar kawasan tanaman.

Beliau berkata, kebanyakan kawasan terjejas ditanam dengan kelapa sawit, selain tanaman durian dan pelbagai tanaman dusun yang menjadi sumber pendapatan penduduk.

Menurutnya, kerajaan negeri bersimpati dengan kerugian yang dialami pekebun dan berharap proses penilaian kerosakan dapat disegerakan bagi membolehkan bantuan ihsan disalurkan kepada mereka yang layak.

Katanya, bantuan Kemusnahan Harta Benda dan Tanaman (BKHT) yang disediakan Perhilitan bukan berbentuk ganti rugi sebaliknya bantuan ihsan kepada pemilik tanaman, harta benda dan ternakan yang terjejas akibat konflik hidupan liar.

“Pemilik yang terlibat perlu membuat laporan polis dan laporan kepada Perhilitan sebelum penilaian kerosakan dilakukan bersama jabatan serta agensi berkaitan.

“Kita berharap proses ini dapat dipercepatkan supaya pemilik kebun dan penternak dapat menerima bantuan dengan segera,” katanya.

Mohd Zolkafly berkata, Perhilitan turut menyediakan bantuan pemasangan pagar elektrik sebagai langkah pencegahan, namun pemilik tanah perlu mengikuti kursus berkaitan dan bertanggungjawab menyelenggara kemudahan itu selepas dipasang.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan sekumpulan pekebun di Kampung Perlop 1 berdepan kerugian puluhan ribu ringgit apabila kebun kelapa sawit mereka dimusnahkan gajah liar sejak dua bulan lalu.

Gangguan itu menjejaskan kira-kira 80 hektar kebun sawit yang diusahakan 18 pekebun, sekali gus memberi kesan kepada sumber pendapatan utama mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!