Kelab peminat ajak pengurusan tertinggi Selangor FC bersemuka

Laporan Sukan Sinar pada 23 Ogos lalu. (Gambar kecil: Mohd Faizal)
Laporan Sukan Sinar pada 23 Ogos lalu. (Gambar kecil: Mohd Faizal)
A
A
A

KELAB penyokong menuntut untuk mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon bagi membincangkan kemelut dan kemerosotan prestasi skuad Gergasi Merah dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Pertemuan itu boleh diadakan dalam tempoh terdekat melibatkan wakil-wakil kelab penyokong dan pemain bagi mencari solusi terbaik, bukan mahu menuding jari mencari salah sebaliknya demi kemajuan bola sepak Selangor.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, pihak pengurusan, para pemain dan peminat perlu mencari titik pertemuan serta kesepakatan, bukan saling 'berperang' di media sosial kerana ia boleh mengundang suasana yang lebih keruh dan tidak harmoni.

“Media sosial menjadi tempat melepaskan geram warga maya dan penyokong yang tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan. Begitu juga di stadium, penyokong mengecam pemain. Ia memberi kesan buruk kepada prestasi pemain.

“Suasana ini tidak boleh dibiarkan berlarutan, sebaliknya satu dialog perlu diadakan antara pengurusan tertinggi, para pemain dan penyokong untuk mencari penyelesaian terbaik demi bola sepak Selangor.

“Penyokong perlu ikut saluran betul, bukan membuat cacian secara melulu. Dialog ini boleh menjadi medium para peminat untuk meluahkan rasa tidak puas hati dan di pihak pengurusan sudah tentu ada penjelasan untuk diberi,” katanya kepada Sukan Sinar.

Untuk rekod, skuad kendalian jurulatih sementara, Nidzam Jamil tewas buat kali keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super selepas jaringan minit ke-59 Darren Lok untuk kemenangan 1-0 Petaling Jaya City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Beliau menambah, Nidzam yang baru mengambil alih pasukan juga perlu diberi masa untuk memantapkan skuad lebih-lebih lagi Selangor FC akan berdepan pendahulu liga Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 3 September ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai penyokong saya faham situasi marah serta sedih (kemerosotan pasukan) apabila berlaku pertukaran jurulatih akan berlaku keadaan tidak stabil dalam pasukan.

“Saya berharap pengurus pasukan harus bertanggungjawab 100 peratus, bagaimana untuk menangani hal ini. Selangor FC juga perlu minta sokongan bekas pemain untuk bantu pasukan. Rombakan juga perlu dilakukan dengan mengekalkan pemain yang benar-benar bagus dan pemain import perlu bersungguh-sungguh untuk bantu pasukan,” katanya.