Norsyahrin Hamidon menang jawatan Presiden DPMM

Norsyahrin Hamidon
Norsyahrin Hamidon
A
A
A

SHAH ALAM - Norsyahrin Hamidon menang tanpa bertanding jawatan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bagi sesi baharu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden DPMM penggal lalu, 2020-2023 dan bekas Yang Dipertua (YDP) DPMM Putrajaya diumumkan memenangi jawatan itu sempena Mesyuarat Agung Tahunan DPMM ke-54 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Untuk rekod, pada awalnya pencalonan bagi jawatan Presiden DPMM melibatkan tiga calon iaitu Norsyahrin bersama YDP DPMM Perlis yang juga Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim serta YDP DPMM Kedah, Datuk Mohd Zayad Ismail.

Namun begitu sebelum bermulanya mesyuarat agung tahunan DPMM pagi tadi, Shahidan dan Mohd Zayad telah menarik diri.

Ia sekali gus memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada Norsyahrin untuk menerajui kepimpinan DPMM bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Shahidan terdahulu dilaporkan berkata, penarikan diri beliau daripada bertanding adalah demi perpaduan dan keharmonian dewan perniagaan berkenaan.

"Saya mengucapkan kepada mereka yang dicalon dan dilantik bagi jawatan ini semoga dapat menggalas amanah tersebut dengan baik.

"Saya juga akan membantu mereka dari masa ke masa," katanya.