Selepas Najib, giliran siapa lagi?

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd pada Selasa, ternyata membuktikan bahawa sistem perundangan dan kehakiman negara kekal dilindungi daripada sebarang campur tangan atau desakan politik politik.

Selepas lima tahun, Mahkamah Persekutuan akhirnya menolak rayuan akhir Najib dan beliau diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Bagaimanapun, rakyat masih belum boleh menarik nafas lega kerana kes tersebut hanyalah sebahagian daripada kes-kes korupsi serta penyelewengan yang dilakukan oleh ahli-ahli politik lain.

Pada Selasa, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib itu bukanlah pengakhiran sebuah perjuangan.

Muhyiddin berkata, ia berikutan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan penyelewengan dana berjumlah RM2.6 billion, kes rasuah membabitkan Pengerusi BN serta kes-kes berprofil tinggi lain masih lagi belum selesai.

Ulasnya, tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap dari segi moral.

Disebabkan itu, kebebasan badan kehakiman negara perlu terus dilindungi tanpa ada cubaan campurtangan atau desakan politik dari mana-mana pihak bagi memastikan keadilan sentiasa dapat ditegakkan.

Dalam pada itu, Ketua Program Sains Politik, UKM, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, kes melibatkan penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd itu dilihat satu titik penting dalam mengubah politik negara yang lebih beramanah, berintegriti dan demokratik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, institusi politik negara yang baik amat penting dalam melahirkan sistem semak dan imbang yang telus seterusnya memastikan pembangunan negara secara konsisten.

Dari segi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kes Najib itu sudah tentu akan dijadikan sebagai modal ‘character assisnation’ (pembunuhan karakter) dalam propaganda parti pembangkang yang akan datang.

Ada kemungkinan parti pembangkang akan memainkan sentimen tersebut seperti mana yang dilakukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini.

Namun, apa yang pasti, kes Najib sudah tentu akan menjadi topik perbincangan daripada banyak pihak termasuk daripada parti BN.

Persoalannya, giliran siapa lagi selepas Najib? Adakah pemimpin-pemimpin politik kontroversi lain akan turut menerima akibat yang sama seperti bekas Perdana Menteri?