Peguam Najib sedih keputusan Mahkamah Persekutuan

Peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, Hisyam Teh Poh Teik. - Foto Bernama.
Peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, Hisyam Teh Poh Teik. - Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Hisyam Teh Poh Teik meluahkan perasaan sedihnya selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan terhadap anak guamnya pada Selasa.

Hisyam ketika ditemui pemberita berkata, pasukan pembelaan sedih selepas mereka gagal dalam rayuan terakhir yang menyaksikan bekas perdana menteri itu dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Apabila ditanya sama ada Najib akan membuat semakan berhubung keputusan itu, peguam tersebut berkata, beliau akan berbincang dengan pasukannya dan tidak menolak kemungkinan itu.

"Allah sahaja yang boleh memberikan keadilan yang sempurna," kata Hisyam, merujuk keputusan duluan tersebut.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Najib, 69, gagal membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada 8 Disember 2021.

Sementara itu, kenderaan yang membawa Najib keluar dari pekarangan Istana Kehakiman kira-kira 5.44 petang yang diiringi pasukan polis turut disertai kenderaan membawa isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya. - Bernama.

Artikel Berkaitan: