Keputusan mahkamah terhadap Najib bukan pengakhiran perjuangan

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa bukan pengakhiran sebuah perjuangan.

Beliau berkata, ia berikutan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan penyelewengan dana berjumlah RM2.6 bilion, kes rasuah membabitkan Pengerusi BN serta kes-kes berprofil tinggi lain masih lagi belum selesai.

“Saya berharap, kebebasan badan kehakiman di negara kita terus dilindungi tanpa ada cubaan campur tangan atau desakan politik daripada mana-mana pihak agar keadilan dapat tertegak.

“Kebebasan dan integriti badan kehakiman sepertimana yang terbukti pada hari ini adalah paksi sebuah negara demokrasi.

“Tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara kita akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral, nauzubillah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Muhyiddin berkata, perjuangannya bersama rakyat dalam menentang budaya rasuah dan korupsi akhirnya telah terjawab di Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, sistem kehakiman bebas membuktikan bahawa keadilan dapat ditegakkan dan mengembalikan maruah negara yang telah tercalar.

Artikel Berkaitan:

“Kebebasan sistem kehakiman inilah yang saya pertahankan ketika saya menjadi Perdana Menteri.

“Walaupun ada desakan politik supaya saya campur tangan dalam kes tertentu, saya tegas menolaknya walau akhirnya saya terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip ini,” ujarnya.