Bukti keadilan, kebebasan badan kehakiman masih wujud

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd membuktikan wujud keadilan dan kebebasan dalam badan kehakiman di negara ini.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, keputusan itu akan menjadi sejarah dan terus terpahat dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia.

"Semua yang berlaku ini juga atas ketentuan ALLAH SWT dan kita perlu reda serta mengambil ibrah daripadanya.

"Perjuangan nilai-nilai moral dan integriti akan terus Bersatu perjuangkan kerana tiada siapa yang rela untuk membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin rakus yang menyalahgunakan kuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa, Mahmakah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Dr Sahruddin berkata, keputusan itu juga membuktikan perjuangan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini adalah benar dalam menegakkan kebenaran bagi menentang kemungkaran.

Menurutnya, ahli Bersatu wajar berasa bangga dengan Ahli Parlimen Pagoh itu yang ikhlas berjuang demi agama, bangsa serta tanah airnya.

Artikel Berkaitan:

"Penghargaan yang tidak terhingga dizahirkan kepada Muhyiddin atas prinsip 'berkata benar' dan 'nothing to hide' dalam perjuangan sehingga beliau akhirnya dipecat daripada UMNO pada tahun 2016.

"Bersatu Johor merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Muhyiddin kerana telah mengambil langkah berani tanpa lelah membongkar skandal terburuk dalam negara selama ini," katanya.

Tambahnya, sejak Muhyiddin dipecat daripada UMNO, Presiden Bersatu itu telah menempuh pelbagai liku dan cabaran dalam perjalanan karier politiknya hanya kerana menegur skandal moral dan kewangan melibatkan Najib.

"Kepada seluruh ahli Bersatu Malaysia, rapatkan saf dan yakinlah dengan perjuangan kita sekali gus terus bersemangat untuk berjuang serta memenangkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15," katanya.