Kesedaran individu bekerja sendiri carum Perkeso masih rendah

Zainol (dua dari kiri) menyerahkan faedah pengurusan mayat kepada waris mendiang, E Darwin Liew di kediamannya di Taman Padu di sini pada Selasa.
Zainol (dua dari kiri) menyerahkan faedah pengurusan mayat kepada waris mendiang, E Darwin Liew di kediamannya di Taman Padu di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor mengenal pasti seramai 49,103 individu bekerja sendiri di negeri ini masih belum mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarahnya, Zainol Abu berkata, jumlah itu dianggap masih rendah berbanding sasaran Perkeso Selangor seramai 120,000 individu mencarum dalam skim itu pada tahun ini.

"Kesedaran dalam kalangan pekerja sendiri untuk mencarum Perkeso masih rendah dan ia memerlukan kesedaran untuk menggalakkan mereka mengambil kesempatan menikmati manfaat yang disediakan di bawah skim terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Penyampaian Faedah Orang Tanggungan (FOT) kepada waris mendiang, E Darwin Liew di kediamannya di Taman Paduka di sini pada Selasa.

Pencarum merupakan penghantar makanan terlibat dalam kemalangan meragut nyawa di kilometer 45.5 Jalan Klang-Teluk Intan pada 4 Ogos lalu.

Menurut Zainol, terdapat beberapa faktor menyebabkan individu bekerja sendiri tidak mencarum antaranya tidak mempunyai pengetahuan dan kurang kesedaran jika ditimpa kemalangan.

Beliau memberitahu, sehingga kini, Perkeso Selangor merekodkan seramai 70,987 pencarum sudah mendaftar pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan pendaftaran seramai 359,531 pencarum sejak pelaksanaannya pada tahun 2017.

"Skim ini penting bagi membolehkan pekerja mendapatkan perlindungan daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, sektor pengangkutan barangan dan makanan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 182,393 pencarum SKSPS, manakala perikanan pula seramai 35,259 pencarum dan pengangkutan penumpang seramai 20,906 pencarum," kata Zainol.

Jelas beliau, pencarum yang mempunyai pendapatan bulanan minimum RM1,050 layak mendapatkan perlindungan dengan bayaran caruman hanya RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun.

Ujar beliau, terdapat banyak faedah diperoleh kepada pencarum antaranya perubatan, hilang upaya kekal, pengurusan mayat dan faedah pendidikan.

"Individu bekerja sendiri boleh mendapatkan maklumat mengenai perkara itu secara dalam talian di https://matrix.perkeso.gov.my atau terus ke cawangan Perkeso berhampiran," katanya.