Kolej Uniti PD, Universiti IPB kongsi kepakaran sektor halal

Amir (empat dari kanan) memegang dokumen MoU yang ditandatangani bersama Universiti IPB.
Amir (empat dari kanan) memegang dokumen MoU yang ditandatangani bersama Universiti IPB.
A
A
A

SEREMBAN - Kolej Uniti Port Dickson dan Universiti Institut Pertanian Bogor (IPB) menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan sumber manusia dan latihan berkaitan halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, menerusi kerjasama itu mereka akan berkongsi kepakaran serta pengalaman sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem dan agenda halal global.

"Kolej Uniti Port Dickson merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di negara ini yang menawarkan program pengajian halal secara formal menerusi Diploma Pengurusan Industri Halal.

"Sebagai antara universiti terbaik di Indonesia, Universiti IPB pula bakal menawarkan kepakaran dalam bidang penyelidikan berkaitan halal," katanya dalam kenyataan kepada media pada Selasa.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Uniti Port Dickson dan Universiti IPB itu diadakan di kampus Bogor, Jawa, Jakarta pada Selasa.

Pada majlis itu, Universiti IPB diwakili Rektor, Profesor Arif Satria dan Pengarah Pusat Sains Halal, Profesor Dr Ir Khaswar Syamsu manakala Amir Hamzah dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Halal Kolej Uniti (UHAC), Muhammad Elyas Harun mewakili Kolej Uniti Port Dickson.

Amir Hamzah berkata, memorandum persefahaman tersebut turut memberi peluang kepada kedua-dua IPT melaksanakan program perkongsian kepakaran melibatkan tenaga pengajar serta pelajar dalam bidang berkaitan.

Jelas beliau, pemilihan Kolej Uniti Port Dickson yang menerima penarafan MyQuest terbilang enam bintang pada 2016 dan 2017 sebagai rakan strategik merupakan satu pengiktirafan memandangkan IPT berkenaan merupakan Penyedia Latihan Halal (PLH) yang mendapat perakuan Majlis Halal Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Artikel Berkaitan:

"Sejak 2013, Kolej Uniti telah melahirkan ribuan graduan bidang halal. UHAC juga sehingga ke hari ini sudah melatih eksekutif-eksekutif halal kompeten yang memenuhi pasaran kerja industri tempatan dan antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Profesor Arif berkata, beliau yakin sinergi kedua-dua IPT berkenaan akan memberi manfaat bukan sahaja kepada industri halal tempatan di Malaysia dan Indonesia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Universiti IPB melalui Pusat Sains Halal mempunyai kepakaran yang luas dalam penyelidikan dan pensijilan halal Indonesia.

"Penubuhan pusat penyelidikan halal baharu yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023 di kampus ini merupakan bukti komitmen Universiti IPB untuk terus menerajui bidang halal di republik ini.

“Justeru, pengalaman dan juga kepakaran Kolej Uniti sejak sedekad lalu dalam menawarkan program pengajian halal akan menjadikan kerjasama ini sebagai lebih berfokus dan memberi impak kepada industri halal global,” katanya.