Tidak sentuh isu Najib

Ab Rauf
Ab Rauf
A
A
A

MELAKA - Pertemuan di antara pimpinan tertinggi UMNO di Kompleks Seri Perdana pada Isnin, adalah berhubung dengan kesiapsiagaan parti di setiap peringkat dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diumumkan pada bila-bila masa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datulk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tidak timbul soal isu mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk campur tangan dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang didakwa.

Menurutnya, desakan itu tidak pernah berlaku dan sekiranya ia berlaku sudah pasti ahli UMNO yang lain juga tidak akan memberi sokongan terhadap perkara itu.

"Kita tidak akan sokong kerana UMNO mestilah menjadi sebuah kerajaan yang tidak mencampuri urusan mahkamah," kata Ab Rauf.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Ayer Keroh di sini, pada Selasa.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, tiada istilah pertemuan tergempar kerana dalam situasi bahang PRU15 kini, pihak tertinggi parti boleh membuat pertemuan pada bila-bila masa.

"Biasanya parti boleh panggil bila-bila masa apabila memerlukan maklumat daripada negeri dan bahagian.

"Namun suasana kebetulan dengan isu semasa yang begitu hangat ini telah ditafsir dalam pelbagai sudut berbeza," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Jelas Ab Rauf bagi kerusi Parlimen negeri itu, BN Melaka turut meletakkan sasaran untuk memenangi lima daripada kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU15 akan datang.

"Pertemuan itu bagi memastikan jentera parti sentiasa dalam keadaan siap sedia dan sudah pasti Melaka sentiasa dalam keadaan itu," katanya.

Sinar Harian pada Isnin menyiarkan beberapa pemimpin dipercayai 'Top 5' UMNO tiba di Kompleks Seri Perdana bagi menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.