Muhammad Shafee buat kemunculan mengejut bantu Najib

Mohamed Shafee selepas menghadiri prosiding rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd, di Mahkamah Persekutuan pada Selasa. - Foto Bernama
Mohamed Shafee selepas menghadiri prosiding rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd, di Mahkamah Persekutuan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Bekas peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat kemunculan mengejut di Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa bagi membantu peguam utama, Hisyam Teh Poh Teik.

Kehadirannya bagi membantu Hisyam dalam prosiding rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda berhubung kes penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.

Ketika prosiding hujahan untuk menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat daripada mendengar rayuan itu, Hisyam berkata, Muhammad Shafee akan tiba di mahkamah dalam masa beberapa minit.

Tengku Maimun: Bukankah khidmat Muhammad Shafee telah ditamatkan?

Hisyam: Betul Yang Amat Arif, tetapi saya telah yakinkah beliau supaya hadir di mahkamah hari ini (Selasa).

Tengku Maimun: Tidak, tidak, teruskan dengan hujahan Tuan Haji.

Selepas 10 minit, Muhammad Shafee tiba di mahkamah dan memaklumkan pihaknya belum bersedia untuk berhujah.

“Saya hanya akan bercakap dua atau tiga minit sahaja Yang Amat Arif, saya mohon prosiding hujahan ini ditangguhkan sehingga esok, kurang daripada 24 jam.

Artikel Berkaitan:

“Tiada sebarang konspirasi, saya hanya dimaklumkan mengenai perkara itu dua jam lalu dan tidak bersedia dengan pakaian rasmi mahkamah.

“Saya menegaskan bahawa permohonan berkenaan tidak boleh diambil ringan,” kata Muhammad Shafee.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram menyifatkan, tindakan peguam Najib selaku perayu tidak lebih kepada alasan untuk menangguhkan prosiding.

Beliau seterusnya membantah permohonan perayu yang dinyatakan oleh dua peguam tersebut.

Setelah mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Tengku Maimun menolak permohonan itu dan panel mengambil pendirian bahawa Hisyam bersedia dengan hujahan serta memerintahkan peguam itu menyambung hujahannya.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee kemudian berkata, Hisyam boleh menghabiskan hujahan pada Selasa dan beliau boleh menyambung hujahan pada pagi Rabu.

“Anda boleh datang esok (Rabu) atau pada bila-bila masa, terpulang.

"Jika semua selesai hari ini (Selasa), tiada alasan untuk anda datang esok, tiada sesiapa akan berada di sini esok,” kata Tengku Maimun yang mempengerusikan lima panel hakim.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.