'Dapatan audit forensik bukti Rafizi menipu'

Gambar file. Gambar kecil: Asyraf Wajdi
Gambar file. Gambar kecil: Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan audit forensik yang dinyahklasifikasikan di laman Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tentang projek kapal tempur pesisir (LCS) pada Isnin membuktikan dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bahawa adanya campur tangan pimpinan UMNO mengenainya adalah palsu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berdasarkan laporan tersebut tiada mana-mana Menteri Pertahanan daripada kalangan pimpinan parti tersebut terlibat dalam menentukan pembayaran kepada syarikat-syarikat yang menguruskan projek berkenaan sama ada pada era Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Jelasnya, hakikat sebenar di sebalik kebocoran dan salah guna kuasa dalam projek tersebut adalah disebabkan kelemahan tadbir urus.

“Antara contoh jelas kelemahan tadbir urus hingga memungkinkan berlakunya ketirisan dan salah laku ialah apabila jawatankuasa pemandu LCS yang dianggotai oleh orang yang sama (terutamanya bekas Panglima Angkatan Tentera Laut Laksamana (B) Tan Sri Ahmad Ramli Nor dan Kapten Anuar Murad) yang duduk di pengurusan tertinggi, jawatankuasa tender, lembaga pengarah. Nama mereka disebut berulang kali di banyak bahagian dalam laporan.

“Antara perkara asas dalam kelemahan tadbir urus korporat ialah bagaimana boleh terjadi individu yang sama berada dalam semua jawatankuasa yang membuat tawaran tender (call for tender), individu yang sama juga membuat penilaian, membuat keputusan dan memutuskan berkenaan pemberian tender. Dalam istilah tadbir urus dipanggil konflik berkepentingan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook (FB) pada Selasa.

Rafizi sebelum ini mempersoalkan bahawa bagaimana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mengetahui tentang terdapatnya penyelewengan mengenai projek LCS sedangkan projek tersebut dijalankan pada eranya sebagai Menteri Pertahanan.

Jelasnya, beliau menuntut penjelasan daripada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tentang penukaran reka bentuk LCS yang dilakukan olehnya dari Sigma kepada Gowind.

Beliau juga melalui pendedahan pada Isnin lalu menyatakan terdapat dua syarikat palsu didaftarkan bagi tujuan juru runding teknikal dan membekal alat gantian kepada LCS berjumlah RM210 billion iaitu Alizes Marine Labuan dan Alizes Marine Limited, dimiliki oleh seorang individu bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa merupakan isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Latiff Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Mengenai hal tersebut, Asyraf berkata, tidak benar dakwaan bahawa hanya 'ikan bilis' yang didakwa manakala ‘ikan jerung’ terlepas sedangkan tiada langsung dalam mana-mana bahagian dalam laporan setebal 104 muka surat itu mengaitkannya dengan campur tangan pimpinan UMNO.