PAC panggil Kementerian Pertahanan perjelas kemajuan LCS

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Pertahanan (Mindef) berhubung kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) pada September ini.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tindakan itu adalah bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kemajuan projek pembinaan LCS bagi bulan Jun hingga September tahun ini.

"PAC akan membentangkan dua laporan berkenaan dengan kemajuan Projek LCS yang akan menyentuh kemajuan pembinaan LCS yang dicapai daripada bulan Oktober 2022 sehingga Mei 2023 dan dari Jun sehingga September 2023.

Laporan itu akan dibawa pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang diadakan pada 9 Oktober hingga 30 November untuk dibahaskan," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini pada Khamis.

Mengenai prosiding PAC berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, beliau berkata, seperti yang dimaklumkan pada 8 Jun lepas, PAC memanggil beberapa kementerian untuk mendapatkan penjelasan.

Ia termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) bagi isu kelemahan dalam terimaan dana berbentuk kewangan dan aset serta bayaran tidak teratur Skim Subsidi Harga Padi, semalam.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula dipanggil pada Khamis, membabitkan isu sejumlah 1.1 juta dos vaksin luput tempoh hayat setakat 30 April 2022 selain 93 unit ventilator yang tidak dapat digunakan dan nisbah penggunaan pelindung but dan sut perlindungan.

"Buat masa ini PAC sudah mendengar penjelasan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Kesihatan. PAC juga komited untuk membentangkan laporan berkenaan dengan isu ini untuk dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga nanti," katanya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, pihaknya memandang serius terhadap perbuatan menyiarkan apa-apa keterangan dan dokumen yang dikemukakan kepada PAC sebelum laporan itu dikemukakan kepada Majlis Parlimen.

"Perbuatan ini jelas melanggar Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 85 dan Akta 347 sekali gus, menganggu siasatan, rumusan serta syor PAC.

Oleh demikian, saya menyeru semua pihak terutamanya pihak media untuk mendapatkan perkembangan prosiding daripada pihak PAC sendiri terutamanya daripada saya. Hormati siasatan prosiding PAC dengan tidak mendapatkan berita sumber yang tidak diterima," katanya. - Bernama