Johor mohon wujudkan PPR di Larkin

Onn Hafiz (kanan) dan Reezal Merican (kiri) mengadakan perbincangan mengenai sektor rumah mampu milik di negeri ini pada Isnin. - Foto Facebook Onn Hafiz
Onn Hafiz (kanan) dan Reezal Merican (kiri) mengadakan perbincangan mengenai sektor rumah mampu milik di negeri ini pada Isnin. - Foto Facebook Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bagi menampung penduduk yang semakin padat di Larkin, kerajaan negeri memohon agar sebuah lagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dibina di situ.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, permohonan itu antara perkara dinyatakan pada pertemuan bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Isnin.

Katanya, ketika ini Johor mempunyai 13 PPR serta tujuh Rumah Sewa Kerajaan (RSK) dan turut memohon peruntukan yang lebih bagi menyelenggara dan mengecat semula bangunan berkenaan.

"Dalam pertemuan itu, kerajaan negeri telah memohon untuk membina sebuah lagi PPR di Larkin bagi menampung kependudukan yang semakin padat di kawasan itu.

"Kerajaan Johor turut menyentuh tentang pengurusan sisa pepejal di Johor membabitkan khidmat SWM Environment Sdn Bhd dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) selain cadangan Eco Waste oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bagi mengurangkan lagi buangan sampah dan menggalakkan kitar semula.

"Semoga segala permohonan dan perancangan di peringkat negeri dan Persekutuan bagi menyediakan perumahan serta perkhidmatan yang berkenaan kepada Bangsa Johor akan dapat dilaksana, bagi menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat negeri ini pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, dalam mesyuarat itu, kerajaan Johor turut dimaklumkan penyediaan rumah mampu milik kini akan diseragamkan dengan penubuhan semula Majlis Perumahan Mampu Milik Negara.

Katanya, majlis itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta dianggotai oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Antara lain, majlis ini akan mengambil maklum stok rumah tersedia, mengadakan indeks mampu milik negara, menyediakan pembiayaan kepada pembeli serta memastikan pembinaan rumah berkualiti yang berdaya huni," kata beliau.