Isu kepupusan hidupan liar tanggungjawab bersama

Hidupan liar dilindungi seperti Harimau Malaya atau Harimau Belang, gajah dan tapir dilaporkan kian merosot jumlahnya akibat ancaman habitat dan tempat tinggal. - Foto 123RF
Hidupan liar dilindungi seperti Harimau Malaya atau Harimau Belang, gajah dan tapir dilaporkan kian merosot jumlahnya akibat ancaman habitat dan tempat tinggal. - Foto 123RF
A
A
A

HIDUPAN liar dilindungi seperti Harimau Malaya atau Harimau Belang, gajah dan tapir dilaporkan kian merosot jumlahnya akibat ancaman habitat dan tempat tinggal.

Ia bukan semata-mata hidupan liar yang bebas bergerak di dalam hutan, namun kepentingan dan nilainya kepada negara perlu dikekalkan.

Secara asasnya, biar pun harimau adalah spesies pemangsa, ia memainkan peranan penting dalam rantaian makanan dalam hutan.

Contohnya, babi hutan dan rusa adalah makanan bagi harimau. Sekiranya harimau semakin lenyap, babi hutan dan rusa ini terus akan membiak hingga menjejaskan rantaian makanan.

Selain itu, timbul isu gajah ceroboh kampung dan kawasan kediaman. Siapakah yang hendak disalahkan? Adakah dengan menembak gajah ia satu penyelesaian? Jawapannya tidak.

Gajah memerlukan kawasan yang luas untuk bergerak secara berkumpulan dan apabila 'rumahnya' semakin terjejas akibat kemusnahan, haiwan ini akan bergerak ke tempat lain untuk mencari makanan.

Jadi timbul persoalan penting mengenai kemusnahan hutan, siapa yang perlu bertanggungjawab?

Hutan yang semakin berkurang akibat penerokaan ini sudah tentu menjejaskan semua spesies flora dan fauna.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim sebelum ini mendedahkan kepada Sinar Harian, akibat pengecilan habitat dan kegiatan pemburuan haram, lima spesies binatang liar akan pupus dalam tempoh 10 tahun lagi sekiranya tiada langkah perlindungan diambil.

Katanya, lima spesies terbabit adalah Harimau Malaya atau Harimau Belang, gajah, seladang, tapir dan rusa sambar.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penubuhan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) diharap dapat membuka mata banyak pihak bahawa jenayah alam sekitar perlu diberi perhatian dan tindakan penguatkuasaan yang proaktif.

Katanya, dalam jangka masa panjang, WCB diwujudkan bukan sahaja untuk beri fokus ke atas jenayah hidupan liar namun turut memfokuskan usaha polis dalam melindungi khazanah negara.

Oleh itu, kepentingan menjaga hidupan liar dan habitat mereka tidak hanya terletak di bahu pihak berkuasa sahaja, sebaliknya orang ramai boleh memainkan peranan supaya khazanah negara yang bernilai itu dapat terus terpelihara.