KPDNHEP Pulau Pinang tumpaskan sindiket seleweng diesel

Jegan (dua,kanan) menunjukkan lori tangki yang ditemui dalam premis yang diserbu pada Isnin.
Jegan (dua,kanan) menunjukkan lori tangki yang ditemui dalam premis yang diserbu pada Isnin.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mematahkan sindiket penyelewengan diesel susulan serbuan di sebuah stor penyimpanan di Permatang Tinggi di sini, pada Isnin.

Serbuan pada jam 9.45 pagi itu menemukan 171,000 liter diesel bersubsidi dan menahan empat lelaki berusia antara 20 dan 40 tahun.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, S Jegan berkata, ketika serbuan pihaknya menemui sebuah lori dengan muatan berat 10 tan dalam premis terbabit dan terdapat lapan unit tong plastik kosong berkapasiti 1,000 liter yang telah diubahsuai di dalam lori tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lima buah skid tank, dua buah lori bonded, dua buah lori kargo dan lima buah lori tangki berada di dalam premis.

"Semasa pemeriksaan dijalankan kami dapati terdapat lima buah skid tank dan tiga buah lori tangki menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel dengan jumlah anggaran 171,000 liter iaitu melebihi had simpanan dibenarkan.

"Selain menahan empat lelaki tempatan yang berada dalam premis terbabit kami turut menyita sebuah lori kanvas, tiga lori tangki, 171,000 liter minyak diesel dengan anggaran jumlah nilai rampasan minyak diesel RM342,180 dan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM532,180," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Jegan berkata, siasatan mendapati premis berkenaan mempunyai lesen untuk menyimpan barang kawalan berjadual namun ketika pemeriksaan dibuat premis terbabit menyimpan jumlah diesel berlebihan daripada dibenarkan.

Artikel Berkaitan: