Sindiket pertukaran wang haram didalangi warga Bangladesh tumpas

Sindiket didalangi warga Bangladesh itu berjaya ditumpaskan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).
Sindiket didalangi warga Bangladesh itu berjaya ditumpaskan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pertukaran wang haram berjaya dibongkarkan menerusi serbuan di tiga premis yang menjual peralatan telefon, elektronik dan agensi pelancongan menerusi operasi khas di sekitar ibu kota pada 18 dan 19 Ogos lalu.

Sindiket yang didalangi warga Bangladesh itu berjaya ditumpaskan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan dijalankan ke atas tiga premis yang dikendalikan oleh warga Bangladesh.

Menurutnya, serbuan dijalankan susulan tangkapan seorang lelaki warga Bangladesh yang bertindak sebagai runner kepada sindiket menggunakan khidmat syarikat penghantaran barang pada 18 Ogos lalu.

"Seramai enam lelaki warga Bangladesh berumur antara 26 hingga 40 tahun yang ditahan merupakan pekerja dan penjaga premis kiosk peralatan telefon dan elektronik serta kiosk agensi pelancongan.

"Salah seorang yang ditahan merupakan dalang utama sindiket iaitu sorang lelaki warga Bangladesh berumur 36 tahun," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, serbuan yang dijalankan turut merampas pelbagai dokumen serta wang tunai.

"Antara dirampas melibatkan wang tunai berjumlah RM44,035 dipercayai hasil aktiviti pengurup wang dan 15 naskhah pasport Bangladesh yang juga disyaki menjalankan aktiviti ejen pekerja asing.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas buku-buku dan dokumen rekod kiriman wang ke luar negara seperti Bangladesh dan Indonesia," katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod kiriman wang yang dijumpai, sindiket ini mampu membuat kiriman wang ke luar mencecah RM1.2 juta sebulan.

"Sindiket juga disyaki menjadi ejen pekerja asing berdasarkan jumlah pasport yang dijumpai

"Kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.

"Kesemua suspek dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.