Waris dakwa ditipu khidmat van jenazah, tawar percuma tapi minta bayaran

Hantaran dakwaan wujud penipuan terhadap waris keluarga apabila pengendali van jenazah berkenaan mengenakan bayaran walaupun pada mulanya dikatakan percuma.
Hantaran dakwaan wujud penipuan terhadap waris keluarga apabila pengendali van jenazah berkenaan mengenakan bayaran walaupun pada mulanya dikatakan percuma.
A
A
A

MELAKA - Sebuah perkhidmatan van jenazah di negeri ini didakwa menipu waris apabila mengenakan bayaran walaupun pada awalnya dikatakan menawarkan perkhidmatan itu secara percuma.

Dakwaan itu dimuat naik menerusi akaun Facebook Mr Wan Cai Official yang memaklumkan keluarga kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu dihubungi seminggu selepas pengebumian bagi meminta sejumlah wang yang disifatkan sebagai sumbangan atau infak.

Menurut hantaran itu, pada peringkat awal, pihak van jenazah didakwa memaklumkan kepada waris bahawa perkhidmatan berkenaan diberikan secara percuma tanpa sebarang bayaran.

Bagaimanapun, pengendali akaun terbabit mendakwa keluarga berkenaan kemudiannya dihubungi untuk membuat pembayaran yang dikatakan sebagai sumbangan, sekali gus mempersoalkan tindakan menetapkan jumlah tertentu bagi tujuan berkenaan.

"Kartel Van Jenazah Melaka ini memang betul-betul dah melampau. Jenazah kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pun kamu sanggup tipu dan ambil duit.

"Di hospital, kamu maklumkan kepada waris bahawa perkhidmatan itu percuma. Kononnya ikhlas dan tidak perlu bayar apa-apa.

"Selang seminggu, kamu menghantar mesej kepada bapa arwah untuk minta duit. Apabila bapa arwah mempertikaikan perjanjian awal yang menyatakan perkhidmatan itu percuma, kamu pula mendakwa bayaran tersebut adalah sumbangan dan infak.

“Yang aku tidak puas hati, kenapa sumbangan yang kamu tetapkan itu mempunyai nilai tertentu?" menurut hantaran tersebut.

Menerusi hantaran sama, turut sertakan tiga nama yang dipercayai bertanggungjawab dalam pengurusan van jenazah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Hantaran itu turut meluahkan rasa kesal terhadap tindakan yang didakwa dilakukan ketika keluarga masih bersedih atas pemergian kanak-kanak terbabit.

"Macam mana kamu tergamak menipu ibu bapa yang baru kehilangan anak perempuan berusia 11 tahun? Mana pergi belas kasihan kamu?

"Aku akan pastikan Van Jenazah Melaka hanya tinggal nama sahaja selepas ini," katanya.

Sementara itu, wakil pengurusan van jenazah berkenaan yang dikenali sebagai Rahmat ketika dihubungi media memaklumkan, pihaknya sedang mengumpulkan bukti dan akan membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!