PKR gesa rombak sistem pengesahan perbankan dalam talian

Fahmi (dua dari kiri) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Isnin.
Fahmi (dua dari kiri) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa sistem keselamatan bank terutama bagi perbankan dalam talian dirombak segera bagi mengekang kes kehilangan wang dalam akaun bank yang didalangi penipu atau 'scammer'.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, ia kerana kes-kes kehilangan wang yang berlaku menunjukkan sistem keselamatan perbankan hari ini mudah diceroboh oleh scammer.

Katanya, rombakan perlu dilakukan termasuk menggunakan kaedah pengesahan lain.

"Ia termasuk dengan melaksanakan sistem pengesahan dua faktor (2FA) dan pengesahan nombor International Mobile Equipment Identity (IMEI) yang khusus bagi setiap peranti.

"Sistem ini boleh diguna terutama bagi transaksi ganjil oleh pengguna seperti yang melibatkan amaun yang besar," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PKR, di sini, pada Isnin.

Turut hadir Pengarah Komunikasi PKR merangkap Penasihat Kumpulan Sokongan Mangsa-Mangsa Penipuan Kewangan Online, Lee Chean Chung.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kes sedemikian kini semakin berleluasa apabila dalam tempoh 2017 hingga tahun lalu dilaporkan purata 20,000 orang menjadi mangsa scammer setiap tahun dengan jumlah kerugian sebanyak RM690 juta.

"Bagi Januari sehingga hujung 2021 dianggarkan lebih 13,000 orang telah menjadi mangsa scammer dan mereka telah kehilangan lebih RM427 juta.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tahun ini pula sahaja secara purata 61 orang menjadi mangsa scammer dengan lebih RM2 juta dicuri setiap hari dan terbaru kita baca bagaimana seorang doktor pakar hilang RM13,000 simpanan bank dalam masa beberapa minit sahaja," ujarnya.

Berikutan itu, beliau mendesak kerajaan terutama Menteri Kewangan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) bertindak pantas untuk mengekang dan menghaluskan aktiviti scammer di negara ini.

Fahmi menegaskan, di pihak PKR pula, beliau akan mengusulkan pembentukan satu jawatankuasa bertindak yang akan melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) bagi membantu mangsa scammer.

"Ia termasuk mempertimbang tindakan perundangan selain mencadangkan reformasi-reformasi institusi bagi memastikan kita berjaya mengalahkan penjenayah scammer ini," jelasnya.