Bicara kes dadah Yasin, Mac depan

Yasin (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi prosiding kes dadah, pada Isnin.
Yasin (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi prosiding kes dadah, pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menetapkan Mac tahun depan untuk perbicaraan kes dadah membabitkan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman.

Hakim Jamaludin Mat menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah memaklumkan seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan berlangsung selama 15 hari bermula 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac 2023.

Dalam pada itu semasa prosiding, Mohd Asnawi berkata, pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pasukan pembelaan.

Mengesahkan perkara itu, peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin berkata, pihaknya sudah menerima 18 dokumen.

"Kami sudah semak dan memandangkan semua dokumen itu telah lengkap, kami mohon tarikh sebutan baharu," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober depan untuk pengurusan kes seterusnya sebelum perbicaraan bermula.

Pada 6 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan Muhammad Yasin, 47, terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret menarik balik tuduhan mengedar 214 gram dadah dan menuduh semula penyanyi itu atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah jenis kanabis.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara jam 5.30 petang pada 24 Mac lalu dan didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Penyanyi itu turut berdepan pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Satu lagi pertuduhan ialah memberikan dirinya dadah berbahaya jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam, tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.