PKR dakwa bank tahu peranti diguna untuk menipu

Chean Chung (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Isnin.
Chean Chung (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa kes kehilangan wang dalam akaun bank yang dialami pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah membuktikan bank komersial tahu peranti yang digunakan untuk melakukan penipuan.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung mendakwa, pendedahan Dr Rafidah menunjukkan bahawa bank mengetahui peranti baharu digunakan untuk pendaftaran aplikasi perbankan mangsa.

"Persoalannya, mengapakah tiada tindakan lanjut pihak bank untuk membuat pengesahan? Jadi pengalaman yang dialami Dr Rafidah ini sekali lagi membuktikan kelompongan dan kelemahan sistem sekuriti bank.

"Bank-bank komersial sebenarnya mengetahui lebih lanjut tentang apa yang berlaku dan alat mana yang melakukan penipuan, malangnya mereka tidak berbuat apa-apa dan membiarkan mangsa mengubati 'luka' sendiri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Penerangan PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Pada Jumaat lalu, Dr Rafidah mendedahkan wang berjumlah RM13,000 miliknya lesap daripada akaun bank CIMBnya dan wang itu dikeluarkan tanpa beliau menerima kod pengesahan transaksi (TAC).

Artikel Berkaitan:

Chean Chung yang juga Penasihat Kumpulan Sokongan Mangsa-Mangsa Penipuan Kewangan Online menjelaskan, Dr Rafidah telah membuka akaun CIMB selama 30 tahun dan tidak pernah menukar nombor telefon atau mendaftarkan nombor telefon kedua namun penipu atau 'scammer' boleh menjalankan transaksi sebanyak tiga kali ke iPhone 6 yang 'telah didaftar' beliau tanpa memerlukan TAC.

"Bagi kes Dr Rafidah ini juga kami mendapati beliau dihubungi oleh pihak bank untuk diberikan penjelasan.

"Malangnya bagi ribuan mangsa lain, mereka tidak menerima layanan begitu kerana mereka tidak mempunyai 300,000 pengikut dalam media sosial mereka," katanya sinis.

Justeru, Chean Chung mempersoalkan prosedur operasi bank (SOP) bank yang seolah-olah hanya melayan mangsa berpengaruh tetapi mengabaikan yang lain.

"Mana hak mangsa-mangsa lain untuk mengetahui status kehilangan wang mereka?," soal beliau lagi.

Chean Chung mendakwa, kes penipuan sebegitu berlaku kerana Bank Negara Malaysia (BNM) tidak bertindak memperketatkan tahap keselamatan siber (cyber security) bank-bank komersil.

Katanya, kelewatan bertindak dalam menangani kes penipuan itu adalah satu kezaliman kerana setiap hari lebih ramai mangsa akan tertipu dan kehilangan simpanan seumur hidup mereka.