Jutawan hartanah batal saman RM7 juta, maafkan pemfitnah

Hayat (kanan) dan Azlan (kiri) bersama lelaki terbabit selepas isu fitnah diselesaikan secara baik pada Ahad. Foto: Ihsan Hayat
Hayat (kanan) dan Azlan (kiri) bersama lelaki terbabit selepas isu fitnah diselesaikan secara baik pada Ahad. Foto: Ihsan Hayat
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jutawan hartanah, Muhammad Azlan Abdullah@Ali mengambil keputusan menyelesaikan isu dia difitnah oleh seorang lelaki dari Tumpat, Kelantan secara baik tanpa melibatkan tuntutan mahkamah.

Peguam Hayat Muhamad berkata, anak guamnya yang lebih dikenali sebagai Muhammad Azlan Al Amin, 35, itu membatalkan hasrat memfailkan tuntutan saman fitnah sebanyak RM7 juta terhadap lelaki berkenaan.

“Perkara ini sebenarnya tercetus disebabkan salah faham dan ia telah pun selesai semalam dengan lelaki berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada Azlan serta membetulkan keadaan.

“Permohonan maaf itu diterima dan Azlan turut bermurah hati beri saguhati sebanyak RM11,000 kepadanya sebagai bantuan kerana mengalami masalah kewangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Hayat, Azlan menyedari dia difitnah oleh individu terbabit dengan pelbagai tuduhan pada Sabtu lalu selepas melayari Facebook sebelum membuat laporan di Balai Polis Jertih, Besut pada hari sama.

Jelas beliau, antara fitnah tersebut adalah dakwaan Azlan tidak membayar hutang sebanyak RM10,000 dan melantiknya supaya membuat siaran langsung di Facebook bagi menaikkan jumlah pengikut Facebook.

“Fitnah lain yang dilemparkan adalah kononnya Azlan menyuruh gangster membuat ugutan bunuh, cuba mencederakannya, menuduh Azlan mempunyai pakatan dengan polis dan diadakan satu pergaduhan olok- olok dengan seorang lelaki lain.

“Posting tersebut adalah fitnah, tidak benar, direka- reka untuk menjatuhkan reputasi Azlan dan perniagaan beliau iaitu Azlan Al Amin Group Holdings Sdn Bhd,” kata peguam itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tuduhan tersebut memberi impak yang besar kepada emosi jutawan popular di Besut itu namun selepas berbincang, Azlan memutuskan untuk tidak mengambil tindakan sivil terhadap lelaki berkenaan.

“Saya harap ia menjadi pengajaran berguna kepada lelaki itu dan orang awam yang lain supaya tidak sewenang-wenangnya memfitnah kerana ia boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.