Kebangkitan serlah keupayaan sebenar City

Kevin de Bruyne (kanan) cuba melepasi terjahan pemain Newcastle, Bruon Guimares. - Foto EPA
Kevin de Bruyne (kanan) cuba melepasi terjahan pemain Newcastle, Bruon Guimares. - Foto EPA
A
A
A

KEJAYAAN untuk bangkit bagi mengikat Newcastle United 3-3 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Saint James Park pada Ahad nyata menyerlahkan keupayaan sebenar Manchester City musim ini.

Perkara itu ditegaskan pengendali The Citizens, Pep Gurdiola yang menyifatkan skuad kendaliannya itu telah mempamerkan permainan bola sepak yang sebenar apabila berjaya 'bangkit' di penghujung perlawanan.

"Kali ini kami telah menyajikan aksi permainan yang lebih tersusun sejak dari awal perlawanan sehinggalah ke wisel penamat.

"Kesemua pemain telah membuktikan keupayaan sebenar City musim ini dan ia seharusnya membuatkan pasukan-pasukan lain lebih bersedia untuk berdepan dengan kami," katanya.

Perlawanan berkenaan menyaksikan Ilkay Gundogan membuka jaringan seawal minit kelima; namun The Magpies berjaya bangkit bagi meledak tiga gol menerusi Miguel Almiron pada minit ke-28, Callum Wilson (min-39) dan Kieran Trippier (min-54).

Ketinggalan dua gol bagaimanapun tidak melemahkan semangat City yang terus mengasak bagi menyamakan kedudukan dan hasilnya Erling Haaland berjaya merobek gawang Newcastle pada minit ke-60 dan diikuti jaringan Bernardo Silva (min-64) untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Sementara itu Guardiola berkata, pihaknya bersifat terbuka bagi menerima keputusan seri berkenaan dan berharap kesebelasan pemain dapat memberikan yang lebih baik pada perlawanan akan datang.

Malah katanya, keputusan seri berkenaan turut membuktikan bahawa skuad kendaliannya itu telah bersedia bagi mengharungi saingan yang lebih mencabar kelak.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan seri ini membuktikan bahawa kami telah bersedia untuk mengharungi saingan sengit musim ini.

"Ya, adakalanya kami tewas dalam beberapa perebutan bola, tetapi pemain dilihat masih gigih bagi memenangi semula perebutan berkenaan.

"Sekali gus, ia turut menjadikan permainan menjadi lebih terbuka dan kami menjadi lebih baik dari semasa ke semasa," katanya.