Siklon Mocha landa Myanmar, Bangladesh pada Ahad

Siklon Mocha dijangka membadai Myanmar dan Bangladesh pada Ahad ini. - Foto Agensi
Siklon Mocha dijangka membadai Myanmar dan Bangladesh pada Ahad ini. - Foto Agensi
A
A
A

YANGON - Myanmar dan Bangladesh mengerahkan ribuan sukarelawan serta mengarahkan perpindahan segera dari kawasan rendah pada Khamis ketika Siklon Mocha menghampiri kedua-dua negara tersebut.

Menurut Pejabat Meteorologi India, siklon itu diramalkan melanda pada Ahad di sepanjang sempadan Bangladesh-Myanmar yang membawa angin sehingga 145 kilometer sejam.

Pejabat itu turut menjangkakan gelombang ombak setinggi 1.5 dan dua meter akan melanda wilayah pantai rendah termasuk Bangladesh yang menempatkan kem pelarian Rohingya.

Seorang penduduk, Thar Tin Maung, 60, telah dipindahkan dari perkampungannya di negeri Rakhine, Myanmar ke bandar Sittwe sebagai langkah persediaan berdepan ribut.

Pengarah Program Kesiapsiagaan Siklon Bangladesh, Ahmadul Haque berkata, mereka telah mengerahkan 8,600 sukarelawan di Cox's Bazar manakala 3,400 lagi di kem pelarian.

"Kami memberi amaran kepada penduduk yang tinggal di lereng bukit kerana taufan itu akan membawa hujan lebat yang boleh menyebabkan tanah runtuh," katanya.

Selain itu, pihak berkuasa Bangladesh melarang bot nelayan mencari ikan di laut dalam.

Kali terakhir Bangladesh dilanda ribut dahsyat pada November 2007 apabila Siklon Sidr melanda barat daya negara itu, membunuh lebih 3,000 orang dan menyebabkan kerosakan bernilai berbilion dolar. - AFP