Tiga panel penyemak bebas teliti krisis air Pulau Pinang

Zairil
Zairil
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang telah membuat pelantikan panel penyemak bebas untuk meneliti krisis air di negeri ini yang berlaku pada Julai lalu.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, pelantikan itu selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diadakan pada 5 Ogos lalu.

Menurutnya, Kerajaan Pulau Pinang telah melantik beberapa calon sebagai panel penyemak bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan air serta pengurusan lembangan tadahan air.

Zairil berkata, calon tersebut ialah Datuk Ting Chek Choon, Profesor Datuk Dr Nor Azazi Zakaria dan Daruk Lim Chow Hock.

"Panel penyemak ini adalah untuk membincangkan, meneliti dan mengkaji laporan 'post mortem' yang disediakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengenai krisis bekalan air yang berlaku di Pulau Pinang pada 6 sehingga 11 Julai lalu.

"Fungsi dan peranan panel ini adalah adalah seperti terkandung dalam terma rujukan yang telah diluluskan sebelum ini iaitu mengenal pasti faktor kepada berlakunya krisis air di Pulau Pinang, mengenal pasti kelemahan semasa berlakunya krisis air dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menambah, barisan panel itu juga akan mencadangkan langkah-langkah jangka masa pendek, sederhana pendek dan jangka masa panjang bagi penyelesaian krisis air yang berlaku.

"Selain itu, fungsi mereka juga adalah untuk mencadangkan kepada kerajaan negeri langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Ahli-ahli panel yang dilantik akan diberi masa tiga bulan daripada tarikh pelantikan mereka yang telah berkuat kuasa pada 10 Ogos lalu untuk memuktamadkan dapatan mereka," ujarnya.

Sebelum ini, bekalan air terputus di Pulau Pinang yang membabitkan 80 peratus atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan mengambil masa hingga enam hari untuk pulih sepenuhnya.

Kejadian tersebut mendapat pelbagai maklum balas daripada warganet yang menyalahkan PBAPP kerana tidak memberi maklumat tepat selain tidak mengeluarkan notis pemberitahuan tiada bekalan air.

Krisis air itu berlaku selepas semua operasi pengeluaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua telah dihenti tugas sementara waktu iaitu selama empat jam bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari, 6 Julai lalu.

Tindakan itu diambil susulan kadar kekeruhan air mentah di loji tersebut dicatatkan tinggi susulan kejadian banjir di Baling, Kedah pada Isnin.