Muktamar Pas medan kukuh perpaduan ummah

Awang (tengah) ketika ditemui selepas Program Libat Urus Sekolahku Sejahtera-Pemerkasaan Pentaksiran Psikometrik dan Halatuju Kerjaya Murid Kedah 2022 di Dewan Al-Farabi, JPN Kedah pada Ahad.
Awang (tengah) ketika ditemui selepas Program Libat Urus Sekolahku Sejahtera-Pemerkasaan Pentaksiran Psikometrik dan Halatuju Kerjaya Murid Kedah 2022 di Dewan Al-Farabi, JPN Kedah pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR – Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 yang akan berlangsung pada awal September di Kedah dilihat akan menjadi medan mengukuhkan lagi perpaduan ummah.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, tiada usul untuk memutuskan hubungan diterima dalam muktamar tersebut sekaligus menunjukkan usaha terarah pada perpaduan ummah.

“Kita lihat tiada usul yang dibangkitkan perwakilan dari kawasan seluruh Malaysia untuk kita memutuskan hubungan dengan rakan gabungan.

“Yang ada, cuma dari segi teknikal sahaja supaya kita perkemaskan lagi pakatan yang ada sekarang,” katanya.

Awang berkata demikian ketika Program Libat Urus Sekolahku Sejahtera-Pemerkasaan Pentaksiran Psikometrik dan Halatuju Kerjaya Murid Kedah 2022 di Dewan Al-Farabi, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang berpandangan, umat Islam akan menjadi kuat dan boleh melakukan apa sahaja apabila bekerjasama.

“Harapan saya penyatuan dan perpaduan akan terus berlaku bagi menyelamatkan negara kita yang majoriti terdiri daripada umat Islam iaitu kira-kira 70 peratus," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mendapati kekuatan Pas dilihat terus stabil menjelang Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 pada bulan depan.

Ketika diminta mengulas pandangan Pas mengenai masa sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan gesaan daripada beberapa pihak, Awang berpendapat kepentingan rakyat seharusnya dijadikan keutamaan ketika ini.

Beliau tertanya-tanya mengapa hendak mengadakan pilihan raya secara tergesa-gesa, sekaligus menyifatkan ia sebagai nafsu orang politik semata-mata.