Tawar gaji lumayan taktik utama sindiket penipuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tawaran gaji lumayan dan layanan baik merupakan antara taktik utama digunakan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara untuk memperdayakan rakyat di negara ini.

Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, tawaran itu sering dibuat melalui media sosial dengan kebanyakannya mensasarkan golongan wanita.

“Kebanyakan yang menjadi mangsa sindiket ini adalah mereka yang mudah terpedaya dengan janji manis oleh ejen-ejen haram. Jadi, kelemahan yang sering kita lihat dalam kalangan rakyat kita adalah mudah terpedaya atau dipengaruhi.

“Oleh itu nasihat saya, sebelum kita terima apa-apa tawaran pekerjaan tidak kira di dalam atau luar negara semak terlebih dahulu mengenai kesahihannya. Kita boleh rujuk website atau kementerian yang terlibat.

“Langkah ini penting supaya kita tidak mudah diperdaya kerana taktik penjenayah ini adalah menawarkan gaji lumayan, tempat tinggal dan kemewahan yang kelihatan seperti tawaran kerja betul,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim
Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan mengenai taktik sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Pada Jumaat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat seramai 238 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan bekerja di luar negara termasuk 168 orang yang masih terkandas di luar negara.

Menurut Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, angka itu membabitkan statistik tahun lepas sehingga 18 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Shahul Hamid turut menggesa Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Wisma Putra memainkan peranan dengan menyediakan maklumat tepat sekiranya ada tawaran pekerjaan di luar negara.

“Pada saya, Wisma Putra seharusnya mengambil maklum jika ada tawaran pekerjaan sebegini kerana ia juga membabitkan hubungan antarabangsa.

“Jadi, ada baiknya Wisma Putra turut semak dengan pihak berkuasa negara yang tawarkan kerja itu,” katanya.