Banjir: LLM, Besraya ambil serius

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengambil serius berhubung kejadian banjir yang kerap berlaku di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya).

LLM dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian memberitahu, pihaknya dan Besraya mengambil maklum isu tersebut dan sudah membuat semakan di tapak bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurutnya, semakan mendapati punca kekerapan kejadian banjir di situ adalah disebabkan oleh air daripada longkang 'blue water estate' yang disalirkan terus ke longkang monsun Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) telah melimpah ke lebuhraya.

"Merujuk kepada insiden terbaru pada Selasa lalu, semakan kita menunjukkan ia juga disebabkan kadar taburan hujan yang dicatatkan di lokasi tersebut adalah 151.5mm dan adalah tinggi daripada kebiasaan.

"Beberapa tindakan penambahbaikan dibuat oleh Besraya bagi menangani isu banjir tersebut antaranya dengan menaik taraf longkang dari saiz 450mm-900mm, menaikkan profil pavemen di kawasan pusingan ‘U’, pembesaran sump milik JPS serta penyelenggaraan rutin dan berkala sistem perparitan lebuhraya dan sekitarnya," katanya.

Menurut LLM lagi, tindakan penambahbaikan itu bukan hanya melibatkan Lebuhraya Besraya tetapi turut melibatkan pihak lain seperti JPS, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan pihak pemaju berhampiran.

"Beberapa siri mesyuarat dikoordinasikan oleh MPSJ bersama-sama pihak yang terlibat termasuklah ADUN kawasan bagi mendapatkan cadangan penambahbaikan jangka panjang yang paling sesuai memandangkan kejadian banjir di lokasi tersebut masih berulang meskipun tindakan penambahbaikan dilaksanakan sebelum ini.

"LLM dan Besraya sentiasa memantau keadaan di lokasi dari semasa ke semasa terutamanya ketika hujan lebat bagi memastikan keselamatan pengguna dan kelancaran trafik di lebuhraya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, insiden hujan lebat lebih satu jam kelmarin menyebabkan ratusan rumah di sekitar kawasan Seri Kembangan dinaiki air, manakala kenderaan turut terkandas di Lebuhraya Besraya berhampiran Stesen Komuter Serdang.

Sebelum ini, kejadian banjir di lebuhraya Besraya dilaporkan kerap berlaku saban tahun dan seolah-olah tiada penyelesaian.