PRU15:Pas hanya mahu tumpang tuah UMNO

Isham
Isham
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pas seakan tidak mahu 'bercerai' dengan UMNO sebaliknya masih terus menagih simpati mengadakan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atas alasan penyatuan ummah supaya kekal relevan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, keadaan itu menunjukkan Pas semakin terdesak dan mahu menumpang tuah UMNO setelah mereka merasakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada harapan lagi.

Justeru katanya, gesaan untuk Pas dan UMNO bersatu tidak perlu lagi dibangkitkan lagi setelah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan parti kekal dengan keputusan bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15.

"Dalam keadaan sekarang setelah melihat peluang mereka sudah tak lepas, sudah tentu mereka mencari kita semula untuk membentuk kerjasama.

"Bagi saya, Timbalan Pengerusi BN sudah menegaskan pendirian parti pada PRU15 ini untuk bergerak secara solo, jadi tidak ada yang perlu dibincangkan lagi. Itu adalah keputusan muktamad parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ceramah Khas Menyantuni Pimpinan Masyarakat Parlimen Johor Bahru di Dewan Jubli Perak Bandar Baru Uda pada Sabtu.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dilaporkan berkata, UMNO tidak sepatutnya menghalang negeri atau bahagian yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi PRU15.

Hashim dilaporkan berkata, terdapat negeri dan bahagian daripada UMNO sendiri yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Pas demi penyatuan ummah selain percaya kerjasama itu membuka lebih peluang menang dalam PRU nanti.

Dalam pada itu, Isham berkata, sekiranya Pas benar-benar ikhlas mahu bekerjasama dengan BN, perbincangan seeloknya dilakukan selepas PRU15.

Katanya, perbincangan mengenai kerjasama pada ketika ini hanya akan menyukarkan lagi keadaan daripada segi pembahagian kerusi di kawasan yang menjadi rebutan.

"Banyak persoalan dan komplikasi akan timbul antaranya berapa jumlah kerusi perlu diberi dan melibatkan kawasan mana. Akan timbul isu bila masing-masing mereka kuat dan banyak sokongan di kerusi tertentu.

"Hal ini akan merumitkan keadaan, jadi lebih baik bergerak secara solo dan serahkan mandat kepada rakyat untuk tentukan siapa lebih layak berada di kerusi itu," jelasnya.