Perkukuh hubungan dua hala, perkasa dasar diplomasi

A
A
A

Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Persidangan Dewan Rakyat.
Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Persidangan Dewan Rakyat.



Di sebalik kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam bidang ekonomi dan politik, beliau juga dilihat telah berjaya membuka lembaran baharu dengan mengembalikan semula dasar luar negara yang telah ‘terputus’ semasa pandemik Covid-19.

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpendapat, ia berikutan beberapa siri lawatan rasmi yang dilakukan Perdana Menteri itu sebelum ini dalam memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dengan negara luar termasuk Brunei, Turki dan Jepun.

Katanya, ia juga secara tidak langsung menunjukkan komitmen Malaysia untuk meneruskan legasi yang telah dibina oleh kepimpinan terdahulu.

“Ini yang perlu difahami oleh masyarakat kerana apabila negara menghadapi Covid-19, hubungan diplomasi antara negara-negara luar sedikit terjejas kerana tidak ada satu pertemuan fizikal.

“Pertemuan fizikal merupakan salah satu daripada aspek keselamatan iaitu perhubungan dasar luar negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail Sabri turut dilihat berjaya membangunkan Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang strategik dan komprehensif bagi mendepani unjuran pelbagai potensi isu, cabaran serta ancaman.

DR NOOR NIRWANDY
DR NOOR NIRWANDY

“Dalam DNK yang telah dilancarkan beliau pada 19 Julai lalu, dapat dilihat beliau telah meletakkan pengiktirafan antarabangsa sebagai salah satu aspek teras keselamatan negara,” katanya.

Tambahnya, Ismail Sabri juga telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan satu latihan amal keselamatan.

Ia merupakan satu idea yang dicetuskan beliau dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan rakyat bersiap siaga menangani apa jua bentuk ancaman pada masa hadapan.

“Peristiwa seperti banjir di fasa endemik perlu dijadikan sebagai satu pengajaran dalam kepimpinan kerajaan di bawah Datuk Seri Ismail Sabri untuk menambah baik sistem pentadbiran keselamatan negara.

“Inilah yang dibangunkan oleh Perdana Menteri dalam ucaptama semasa DKN untuk berusaha memastikan sistem keselamatan negara terjamin,” kata Noor Nirwandy.

Inisiatif/bantuan di bawah pentadbiran PM:

1. Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Pindaan (No 3) 2022 Berhubung Larangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti.

2. Memperuntukkan RM100 juta kepada UDA Holdings Berhad untuk membantu usahawan Bumiputera mendapatkan ruang perniagaan.

3. Tambahan peruntukan RM1 juta untuk bantu aktiviti persatuan belia sempena Hari Belia Negara 2022.

Perdana Menteri seorang penyayang terutama kepada kanak-kanak.
Perdana Menteri seorang penyayang terutama kepada kanak-kanak.

Inisiatif pemilikan perumahan Keluarga Malaysia atau i-MILIKI:

1. Memperuntukkan dana pusingan RM10 juta sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan.

2. Penyediaan baki keperluan 12,733 unit RKMAT seluruh negara bermula 2023 hingga tahun 2030 sempena Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 (BP 3.0) Kementerian Pertahanan.

3. Pelancaran Malaysia Digital (MD) dalam usaha mentransformasikan ekosistem ekonomi digital.

4. Peruntukan khusus RM10 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sempena Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022.

5. Menyediakan geran tahunan RM4 juta kepada MTUC sempena Persidangan Perwakilan kali ke-42.

6. Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia, myezycover.com kepada 1.6 juta penjawat awam.

7. Bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.

8. Melaksanakan Program Dermasiswa B40 TVET di IPTA.

9. Peruntukan RM1 juta bagi tujuan penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim sempena Majlis Perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM).

10. Membatalkan kelulusan kuota import (AP) barangan makanan dari luar negara sempena Konvensyen Barisan Nasional (BN).

11. Menubuhkan Tabung Agromakanan berjumlah RM500 juta dengan pemberian soft loan kepada pemain industri agromakanan.

12. Pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei 2022 sempena Hari Pekerja.

13. Memastikan semua penjawat awam menerima jumlah gaji dan elaun sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan sempena Hari Terbuka GLC.

14. Penubuhan Majlis Wanita Negara (MWN) dan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual sempena Hari Wanita.

15. Penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion menerusi Inisiatif JaminKerja.

16. Menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 tanpa faedah menerusi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM), manakala RM75,000 tanpa faedah untuk enam bulan pertama dan moratorium sehingga enam bulan menerusi Skim Mikro Kredit oleh Agrobank.

17. Sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara akan dibina sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di bawah program Satu Keluarga Satu Rumah.