'Berita ada pihak menggugut hakim amat menggerunkan' - Rais

Rais Yatim. Gambar kecil: Tangkap layar Twitter Rais.
Rais Yatim. Gambar kecil: Tangkap layar Twitter Rais.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan tindakan memberi ancaman kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini merupakan satu hal yang melampau dan belum pernah berlaku dalam sejarah.

Katanya, sekalipun pihak kehakiman sebelum ini pernah mengendalikan kes-kes tinggi yang melibatkan hukuman tali gantung namun mereka tidak pernah menerima elemen-elemen bersifat ugutan.

“Berita tentang adanya pihak menggugut hakim amat menggerunkan,” katanya menerusi satu hantaran di Twitter pada Jumaat.

Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jelebu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengambil tindakan terhadap pelaku terbabit.

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan mengenai satu hantaran tular di Facebook (FB) mengandungi mesej ugutan terhadap Tengku Maimun.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, isu tersebut dilihat serius sekalipun belum ada mana-mana laporan dibuat.

Tegasnya, tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan ketenteraman awam.

“Saya sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),” ujarnya.

Tengku Maimun merupakan Ketua Hakim Negara juga merupakan pengerusi bagi lima panel hakim bagi mendengar rayuan akhir yang sedang berlangsung membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk membatalkan sabitannya berhubung dana Syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.